firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kami bukan nak boikot sangat pasukan pun, kami hanya marah kat pengurusan Perak FC sahaja”.
Itu kata Setiausaha Gabungan Kelab Penyokong Bolasepak Perak, Hakimi Halim yang mengakui tidak bersetuju tindakan pengurusan kelab memilih Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai gelanggang tuan rumah buat Perak FC apabila menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super, Ahad ini.
Jelas Hakimi, sepatutnya kelab memilih stadium berkecuali sebagai venue perlawanan selepas Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) tidak selamat untuk perlawanan itu.
“Penyokong tugasnya adalah menyokong pasukan, jadi dah tentu kami tetap akan menyokong pasukan biar apapun berlaku.
“Cuma dalam isu ini, kami nak boikot pengurusan kerana membuat keputusan tanpa memikirkan penyokong. Bermain di tempat lawan yang kita akan tentang seolah macam maruah kita dipijak-pijak.
“Sepatutnya bermain di venue yang berkecuali takkan itu pun tak boleh fikir. Kami tak bersetuju dengan keputusan itu. Sudahlah surat mengenai pertukaran main di SSI itu bocor awal…sedangkan patut kelab boleh keluarkan kenyataan rasmi tapi boleh bocor pulak. Jadi apa yang pengurusan buat sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat keputusan menukar lokasi perlawanan tertunda Liga Super di antara Perak FC dan JDT ke SSI selepas aksi kedua-dua pasukan tertangguh dua kali akibat keadaan padang yang teruk selepas hujan.
Keputusan itu dibuat selepas MFL memaklumkan Perak diminta untuk menamakan venue alternatif dan skuad The Bos Gaurus memilih SSI.
© New Straits Times Press (M) Bhd