firdaushashim@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Penyokong Selangor FC (SFC) ‘mengamuk’ di luar Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas difahamkan hilang sabar dengan pengurusan pasukan.
Sebaik aksi keempat Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) berakhir yang menyaksikan Red Giants tumbang 3-2 di tangan Persib Bandung itu, ribuan penyokong Merah Kuning berkumpul di depan pintu utama stadium.
Sambil berkumpul, penyokong mendesak agar pihak pengurusan pasukan tampil bersemuka.
Beberapa nama pengurusan tertinggi dilaung-laungkan oleh penyokong khususnya Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon.
Malah difahamkan, beberapa penyokong turut merempuh masuk bahagian utama tempat duduk stadium dan cuba masuk ke bilik VIP bagi mencari Dr Johan.
Penyokong juga dilihat cuba menutup pintu keluar stadium sebagai tanda protes ke atas pihak pengurusan.
Dalam aksi di Stadium MBPJ itu, perjuangan SFC dalam ACL II terhenti selepas tewas buat kali keempat berturut-turut dan gagal mengutip sebarang mata dalam aksi Kumpulan G itu.
Tuan rumah yang mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Chrigor Moraes dan jaringan sendiri, Patricio Matricardi gagal mempertahankan kelebihan itu.
Persib bangkit dengan tiga gol di separuh masa kedua menerusi jaringan Andrew Jung sebelum Adam Alis Setyano meledak dua gol untuk memastikan tiga mata penuh milik pelawat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






