Kuching: Empat pekerja termasuk tiga rakyat Indonesia hilang manakala enam lagi selamat selepas perahu yang mereka naiki karam di Sungai Krian berhampiran pengkalan feri Kaba di Saratok dalam Bahagian Betong, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, kesemua mangsa yang juga pekerja sebuah syarikat sedang menyeberangi sungai selepas tamat waktu bekerja.
Bagaimanapun, perahu yang dinaiki karam ketika berada di tengah sungai.
Enam mangsa berjaya berenang ke tebing manakala empat lagi masih belum ditemui sehingga kini.
Empat mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Mohd Asfar Sulaiman, 25, penduduk tempatan dan tiga warga Indonesia iaitu Gunawan Pawadi, 35, Budianto Yapani, 50, dan Karyono, 41.
Enam yang terselamat pula semua warga Indonesia iaitu Sandi Putra, 26, Amirul, 20, Tadin, 50, Diki Sanjaya, 22, Dwi Moko, 39 dan Krisna, 27.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.13 petang.
“Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 56 kilometer dari balai dan tiba pada jam 7.10 malam,” katanya.
Menurutnya, pasukan penyelamat mendapatkan maklumat awal daripada mangsa yang selamat, sebelum menasihati pihak syarikat supaya membuat laporan polis.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dijalankan malam tadi atas faktor keselamatan dan akan disambung semula pada pagi ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd