Perak FA langkah kiri di Manjung

Perak FA langkah kiri di Manjung


Perak FA bermula langkah kiri dalam Liga A1 Semi-Pro selepas tewas 0-1 kepada UM-Damansara United. Foto Perak FA

PENAMPILAN Perak FA dalam kempen Liga A1 Semi-Pro musim ini bermula dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada UM-Damansara United di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Isnin.

Minit awal permainan agak perlahan bagi kedua-dua pasukan apabila masing-masing saling mengatur gerakan secara berhati-hati disebabkan permukaan padang yang basah akibat hujan.

Perak FA terpaksa membuat pertukaran awal pada minit ke-14 susulan kecederaan yang menimpa Iffat Fahmi, yang kemudian digantikan oleh Aqil Amsyar.

Pemain UM-Damansara United, Hariz Mansor menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning pada minit ke-18, diikuti pemain Perak FA, Daniel Hakimi yang turut menerima nasib sama pada minit ke-32.

Memasuki minit ke-35, Perak FA berpeluang menjaringkan gol awal namun peluang tersebut disia-siakan oleh Firdaus Fuad.

Permainan kemudian menjadi semakin rancak buat tuan rumah yang menguasai perlawanan dengan beberapa hantaran berbahaya ke kubu lawan.

Di sebalik tekanan yang diberikan itu, pemain UM-Damansara United, Iman Hakimi turut dilayangkan kad kuning selepas melakukan terjahan ke atas Haikal Danish.

Tamat separuh masa pertama menyaksikan lima kad kuning dilayangkan oleh pengadil dengan keputusan tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Memasuki babak kedua, rembatan Amirul Akmal pada minit ke-47 berjaya didakap kemas oleh penjaga gol lawan.

Pada minit ke-50, UM-Damansara United hampir membuka tirai jaringan menerusi umpanan Saiful Iskandar, namun rembatan Iman Hakimi tersasar ke kanan pintu gol Perak FA.

Bagaimanapun, pada minit ke-72, pelawat berjaya menembusi gawang Perak FA menerusi rembatan Shahfizi Ikmal untuk mendahului perlawanan 1-0.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Perak FA berusaha menggandakan asakan untuk menyamakan kedudukan menerusi beberapa percubaan, namun pertahanan lawan berjaya menyerap tekanan hingga ke wisel penamat.

Perlawanan berakhir dengan kemenangan 1-0 berpihak kepada UM-Damansara United, yang membawa pulang tiga mata berharga mengatasi tuan rumah, Perak FA.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top