Perak FA muktamad 25 pemain

Perak FA muktamad 25 pemain


Sebahagian pemain Perak FA yang telah dimuktamadkan untuk bersaing dalam Liga A1 Semi-Pro musim ini.

PERAK FA memuktamadkan senarai 25 pemain bagi mengharungi saingan Liga A1 Semi Pro musim ini yang dijadual bermula pada 3 Ogos depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, senarai tersebut melibatkan gabungan pemain muda serta bekas pemain Liga Super bagi memperkukuh cabaran pasukan.

“Kalau ikut peraturan liga, pasukan boleh menyenaraikan antara 25 hingga 30 pemain. Kita sengaja tidak mengisi kuota maksimum kerana tidak mahu tergesa-gesa.

“Masih ada lima kekosongan, dan kita akan terus menilai beberapa pemain termasuk import dalam siri perlawanan persahabatan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Perak FA dan Melaka FC di Kompleks Bola Sepak Perak, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pihak pengurusan kini memberi tumpuan untuk membawa masuk pemain import berkualiti bagi mengisi tiga posisi penting iaitu serangan, tengah dan pertahanan.

“Kita sudah buat percubaan menerusi dua aksi persahabatan. Fokus kita adalah memilih pemain yang benar-benar boleh memberi impak, bukan sekadar melengkapkan kuota,” ujarnya.

Mengulas mengenai gelanggang rasmi pasukan, Mohd Azhar berkata, Kompleks Bola Sepak Perak di Ipoh bakal dijadikan pangkalan utama menggantikan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tertakluk kepada kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selepas pemeriksaan penuh terhadap kemudahan padang dan fasiliti dilakukan.

“Secara dasarnya, saya lihat kompleks ini sesuai, cuma mungkin perlu beberapa penambahbaikan. Saya percaya ia langkah positif bukan sahaja untuk pasukan, tetapi juga untuk memanfaatkan fasiliti ini bagi penganjuran pelbagai aktiviti lain,” katanya.

Tambahnya, lokasi baharu itu juga lebih hampir dengan pusat latihan pasukan di Ipoh, sekali gus mampu menjimatkan kos logistik dan membantu meningkatkan prestasi pemain.

Bagi aksi pertama menentang UM Damansara United pada 4 Ogos ini, Perak FA akan beraksi di Stadium MPM sementara menanti keputusan rasmi penggunaan Kompleks Bola Sepak Perak.



Source link

OR

Scroll to Top