saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perak FC mencerahkan peluang untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN FC) 3-0 pada aksi pertama pusingan 16, hari ini.
Berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Perak yang mara sehingga ke separuh akhir musim lalu, menampilkan aksi bertenaga dan mendahului pada minit ke-22 selepas tonggak import, Clayton Da Silveira bijak memanduk masuk gol.
Jaringan itu mencetuskan kebangkitan KDN FC yang cuba untuk mendapatkan gol penyamaan, terutamanya di separuh masa kedua.
Skuad The Bos Gaurus di bawah bimbingan Yusri Che Lah bagaimanapun mengukuhkan kedudukan menerusi Azfar Fikri minit ke-80 berpunca daripada kealpaan benteng pertahanan KDN FC.
Gol itu terus memberi keyakinan kepada Perak apabila memperoleh gol ketiga menerusi pemain muda, Daniel Hakimi yang menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.
Aksi kedua pusingan 16 terbaik dijadualkan pada 30 November ini di Stadium Manjung.
© New Straits Times Press (M) Bhd