KERAJAAN Perak akan membantu Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dalam usaha membangunkan bakat bola sepak dari peringkat akar umbi bagi mengembalikan kegemilangan sukan itu, susulan ketiadaan Perak FC dalam saingan Liga Super musim depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan itu diambil memandangkan usaha menjadikan bola sepak sebagai bentuk perniagaan seperti di luar negara masih belum membuahkan hasil.
Menurutnya, walaupun penswastaan pasukan bola sepak pernah dilaksanakan dengan harapan pihak swasta dapat menggerakkan pembangunan berasaskan keuntungan, namun ia tidak mampu bertahan lama.
“Di Malaysia termasuk Perak, kita tidak dapat meniru model luar negara seperti di United Kingdom, di mana bola sepak bukan sahaja sukan tetapi juga perniagaan yang besar.
“Kita pernah berharap pihak swasta seperti XOX dapat membiayai Perak FC, namun akhirnya mereka juga tidak mampu. Ini bukan hanya berlaku di Perak, hampir semua negeri menghadapi situasi sama, kecuali JDT (Johor Darul Ta’zim),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bandaran Kinta, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, kerajaan negeri kini mahu mengembalikan semula model pembangunan bola sepak seperti dahulu yang bermula dari peringkat sekolah.
Jelas beliau, perbincangan telah diadakan bersama Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berhubung perkara tersebut.
“Dahulu, kita kumpul bakat dari sekolah melalui MSSPk (Majlis Sukan Sekolah Negeri Perak), pertandingan peringkat daerah dan seterusnya ke peringkat negeri. Di situlah bakat-bakat dicungkil.
“Kita perlu kembali kepada asas itu sekiranya mahu melihat bola sepak Perak kembali berkembang,” ujarnya.
Tambah beliau, kegagalan Liga Super menyediakan ruang secukupnya kepada pemain tempatan juga menjadi antara faktor utama mengapa bakat baharu sukar diketengahkan.
“Sekarang hanya JDT yang masih mampu bersaing, manakala negeri-negeri lain seperti Kedah, Perlis, Pahang dan Perak sendiri sedang bergelut.
“Liga Super membenarkan terlalu ramai pemain import dan tidak memberi peluang mencukupi kepada bakat tempatan. FAM akhirnya perlukan pemain tempatan untuk pasukan kebangsaan. Jika kita tidak tumpu kepada pembangunan akar umbi, dari mana datangnya pemain tersebut nanti?” katanya.
Menurut Saarani, kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan bola sepak menerusi penyertaan dalam kejohanan seperti Sukan Malaysia (Sukma) dan pertandingan yang dilaksanakan di peringkat negeri.