Perancangan hampir setahun berbaloi

Perancangan hampir setahun berbaloi



hafizithnin@mediaprima.com.my

“Saya rasakan destinasi pelancongan kali ini amat berbaloi. Ia bukan sahaja dapat meraikan anak-anak, malah kami orang dewasa dan ibu bapa yang sudah berusia.

“Kelengkapan di dalamnya cukup lengkap dan selesa. Perkhidmatan kerusi roda di sepanjang laluan kawasan tarikan pelancongan boleh dilalui oleh kerusi roda memberi makna besar kepada ibu dan ayah saya yang sudah uzur,” jelas Azuraini Ikhawan Mohd Hushaini, 40.

Dia yang mesra disapa Ikhawan berkata, baru-baru ini dia bersama 17 ahli keluarga ke Felda Residence Hot Spring di Sungai Klah, Sungkai, Perak. Lokasi itu mengambil masa kira-kira empat jam pemanduan dari ibu negara.

Katanya, dia dan ahli keluarga yang lain sudah merancang hampir setahun ke lokasi itu kerana mengetahui ia adalah lokasi yang menarik untuk dikunjungi dan bersantai untuk keluarga yang besar.

Lokasi itu mempunyai beberapa tempat penginapan termasuk vila yang boleh dihuni kumpulan yang besar seperti ahli keluarga.

Katanya, di luar vila berkenaan terdapat taman tema air, kolam air panas, punca air panas, tempat aktiviti merebus telur, sauna semula jadi dan zoo mini yang boleh dinikmati pengunjung.

Berkongsi mengenai aktiviti yang dilakukan Ikhawan berkata, sebaik sahaja mereka tiba pada jam 3 petang mereka terus mendaftar masuk.

Kemudian anak-anak dibawa untuk menikmati permainan air di taman tema air yang ada di lokasi berkenaan.

“Taman tema air ini airnya sejuk dan mempunyai pelbagai jenis mainan seperti gelungsur. Jadi seronok anak-anak dapat menikmati permainan air pada waktu petang.

“Kemudian, kami mengunjungi kolam air panas yang terletak bersebelahan sahaja dengan taman tema air itu. Di sini terdapat beberapa kolam yang mempunyai tahap kepanasan berbeza dan ada antaranya boleh berendam kerana airnya agak suam,” katanya.

Seterusnya mereka menuju ke tempat aktiviti merebus telur di sebuah kolam air panas. Di situ, pengunjung boleh membeli telur mentah dan membuat eksperimen merebus telur dengan air panas asli yang ada di situ.

“Tempat merebus telur ini paling lama kami singgah dan pengunjung boleh membeli telur mentah yang dijual pada RM5 untuk empat biji telur. Jadi pengunjung hanya perlu memasukkan telur di dalam jaring khas yang disediakan untuk merebus telur yang dibeli.

“Selepas merebus telur itu, kita boleh makan bersama kicap yang disediakan. Pada saya ia adalah aktiviti pendidikan yang menarik untuk kanak-kanak apabila melihat sendiri kemampuan air panas asli untuk memasak,” katanya.

Katanya, untuk bergerak ke setiap lokasi tidak sukar kerana ia berhubung antara satu sama lain. Maka, ia memudahkan pergerakan pengunjung untuk menikmati pelbagai tarikan yang disediakan.

“Pada sebelah malam pula kami bersantai di vila dengan membuat ‘steamboat’ dan makan malam. Menariknya jakuzi yang ada di luar ini membolehkan kami makan sambil berendam.

“Jadi aktiviti bersantai pada sebelah malam memang menjadi meriah kerana semua dapat menikmati keseronokan berendam dan aktiviti makan malam bersama,” katanya.

Tambahnya, pada keesokan hari mereka terus menyambung aktiviti ke taman tema air berkenaan tanpa dikenakan caj baharu selagi mereka tidak menanggalkan gelang akses yang diberikan pada hari pertama pendaftaran.

“Di sini juga disediakan kerusi roda untuk disewa, jadi untuk aktiviti ke zoo berkenaan saya boleh membawa ibu dan ayah dengan menaiki kerusi roda. Paling menarik laluannya amat mesra untuk mereka yang berkerusi roda,” katanya.

Katanya, percutian keluarga ke destinasi itu sememangnya amat berbaloi dari segi harga dan juga mampu mengeratkan hubungan keluarga kerana semua aktiviti bersantai boleh dilakukan bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top