Paris: Pihak berkuasa kehakiman Perancis pada Ahad melanjutkan penahanan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram, Pavel Durov selepas menahannya di lapangan terbang Paris, atas dakwaan kesalahan berkaitan aplikasi pemesejan popular dan kontroversi itu.
Jutawan Franco-Rusia itu ditahan di Lapangan Terbang Le Bourget di utara ibu negara Perancis, Sabtu lalu.
Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, penahanaan Durov, 39, dilanjutkan sehingga malam Ahad oleh majistret penyiasat yang mengendalikan kes itu.
Tempoh awal penahanan untuk disoal siasat ini boleh bertahan sehingga maksimum 96 jam.
Sebaik fasa penahanan itu tamat, hakim boleh memutuskan untuk membebaskan Durov atau mendakwanya atau memerintahkan reman terhadap lelaki itu dilanjutkan.
Durov memegang pasport Perancis sebagai tambahan kepada warganegara lain.
Ketika ditahan, beliau tiba di Paris dari Baku, Azerbaijan, dan merancang untuk makan malam di ibu negara Perancis, kata sumber yang rapat dengan kes itu.
Beliau ditemani seorang pengawal dan pembantu peribadi yang sentiasa menemaninya, tambah sumber itu sambil enggan namanya disiarkan.
OFMIN Perancis, sebuah pejabat yang ditugaskan untuk mencegah keganasan terhadap kanak-kanak bawah umur mengeluarkan waran tangkap untuk Durov dalam siasatan awal terhadap dakwaan kesalahan termasuk penipuan, pengedaran dadah, buli siber, jenayah terancang dan promosi keganasan, kata sumber lain.
Durov didakwa gagal mengambil tindakan untuk membendung penggunaan jenayah pada platformnya.
Telegram dalam reaksinya berkata, Durov tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan kerap mengembara di Eropah.
“Telegram mematuhi undang-undang Kesatuan Eropah (EU) termasuk Akta Perkhidmatan Digital..” katanya.
“Adalah tidak masuk akal untuk mendakwa bahawa platform atau pemiliknya bertanggungjawab atas penyalahgunaan platform itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd