Budapest: Perancis berjaya mengatasi ketiadaan Kylian Mbappe dan persaraan Antoine Griezmann dengan kemenangan selesa 4-1 ke atas Israel dalam saingan Liga Negara-Negara, awal pagi tadi.
Eduardo Camavinga dan Christopher Nkunku meledak jaringan pada separuh masa pertama untuk Perancis di Budapest, di mana Israel terpaksa bermain semua perlawanan bukan di gelanggang sendiri berikutan situasi keselamatan di Timur Tengah.
Didier Deschamps menamakan skuad yang buat pertama kali sejak 2016 tidak menampilkan sama ada Mbappe atau Griezmann.
Mbappe diketepikan daripada perlawanan hari ini dan aksi menentang Belgium, Selasa ini untuk memberinya masa melalui proses pemulihan selepas mengalami kecederaan paha.
Walaupun ketiadaan bintang Real Madrid itu hanya bersifat sementara, persaraan Griezmann adalah kekal selepas dia membuat keputusan untuk meninggalkan kancah antarabangsa minggu lalu.
Persaraan Griezmann menandakan berakhirnya era bagi skuad Perancis yang menjuarai Piala Dunia 2018 dan mara ke final empat tahun kemudian di Qatar.
Namun, skuad baharu Deschamps yang diketuai oleh Aurelien Tchouameni dari Real Madrid menampilkan banyak perkara positif.
Kemenangan kali ini adalah selepas mengalahkan Belgium serta tewas kepada Itali pada aksi pertama sekali gus meletakkan Perancis di tempat kedua dalam Kumpulan A2, satu mata di belakang Itali.
Bagi Israel, kekalahan ketiga berturut-turut meletakkan mereka di tangga terbawah kumpulan tanpa sebarang mata.
Jurulatih Israel, Ran Ben Shimon, memilih penjaga gol Omri Glazer, yang kembali daripada kecederaan, sebagai kapten.
Namun, aksi pertama Glazer tidak bernasib baik apabila dia gagal menangkap cubaan lemah Camavinga dari luar kotak penalti, memberikan Perancis gol pendahuluan pada minit ketujuh.
Israel menyamakan kedudukan sebelum setengah jam perlawanan melalui tandukan padu Omri Gandelman yang disahkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).
Namun, Perancis kembali di depan tidak lama selepas itu apabila Camavinga memberikan hantaran cantik yang membolehkan Nkunku menjaringkan gol dari sudut sempit untuk membuka akaun golnya bersama Les Bleus.
Perancis dihadiahkan dengan jaringan lewat permainan pemain gantian Matteo Guendouzi dan Bradley Barcola masing-masing pada minit ke-87 dan 89.
© New Straits Times Press (M) Bhd