East Rutherford: Perancis dan Norway berkongsi tiga perkara pada Piala Dunia kali ini iaitu rekod sempurna dalam Kumpulan I, penyerang yang sedang berada di prestasi terbaik dan pandangan sama bahawa permukaan padang di stadium yang bakal menganjurkan final Piala Dunia tidak berada pada tahap memuaskan.
Norway dan Senegal menjadi pasukan terbaharu beraksi di Stadium MetLife di New Jersey dengan wakil Scandinavia itu menang 3-2 semalam.
Sehari sebelum perlawanan, delegasi Norway memaklumkan permukaan padang di stadium berkapasiti lebih 80,000 penonton itu luar biasa keras.
Mereka bagaimanapun tidak mengeluh kerana kebanyakan kelab liga utama Norway menggunakan padang tiruan disebabkan cuaca sejuk di negara berkenaan.
Pemain tengah bertahan Norway, Morten Thorsby, berkata keadaan itu seakan-akan memberi kelebihan kepada mereka.
“Ia kelihatan seperti rumput tiruan. Rumputnya pendek dan keras. Mungkin ia sesuai dengan kami kerana ramai pemain pernah beraksi di atas rumput tiruan,” katanya.
Jurulatih Norway, Stale Solbakken turut sependapat.
“Padang ini berbeza dengan banyak venue lain. Ia sangat keras dan hampir tiada rumput. Ia hampir menyerupai padang tiruan tetapi kami perlu menyesuaikan diri,” katanya.
Di Philadelphia pula, jurulatih Perancis, Didier Deschamps, secara berseloroh mengalu-alukan hujan ketika pasukannya menentang Iraq kerana percaya keadaan itu akan memperbaiki kualiti padang.
“Jika hujan turun, bagus, kita dapat menjimatkan air. Rumput akan menjadi lebih laju dan kualitinya jauh lebih baik berbanding di New York.
“Di New York, padangnya keras terutama dari aspek keletihan otot pemain,” katanya.
Perancis kemudian menewaskan Iraq 3-0 dalam perlawanan yang tertangguh hampir dua jam akibat hujan lebat dan cuaca buruk, namun keadaan permukaan padang di Philadelphia dilihat lebih hijau berbanding di New Jersey.
FIFA bagaimanapun menegaskan penampilan fizikal padang tidak semestinya mencerminkan kualiti sebenar permukaan permainan.
“Walaupun ada komen mengenai keadaan visual beberapa kawasan permukaan padang di Stadium NYNJ, penilaian pasukan pengurusan rumput FIFA mendapati setiap padang berada dalam keadaan baik dan berfungsi seperti yang diperlukan untuk pertandingan bertaraf elit.
“Perbezaan dari segi penampilan sama ada di televisyen atau secara langsung tidak semestinya menggambarkan tahap kualiti, kesihatan atau kebolehgunaan padang,” kata FIFA.
Stadium MetLife dijadual menganjurkan lapan perlawanan sepanjang kejohanan dengan kakitangan penyelenggaraan mempunyai tempoh dua minggu untuk menyediakan permukaan terbaik sebelum aksi final selepas perlawanan suku akhir pada 5 Julai.
FIFA mengambil alih sepenuhnya pemasangan padang semula jadi di kesemua 16 venue Piala Dunia di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, dengan permukaan di East Rutherford dipasang pada awal Mei lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






