SKUAD bola sepak Perancis enggan panik selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di tangan Ivory Coast dalam aksi persahabatan pemanas badan menjelang Piala Dunia 2026.
Sebaliknya, kem Les Bleus menegaskan keputusan tersebut harus dilihat sebagai pengajaran serta peringatan berguna buat pasukan bukannya satu amaran awal yang perlu dikhuatiri menjelang kejohanan berprestij itu.
Dalam aksi yang berlangsung di Nantes, skuad kendalian Didier Deschamps mendahului menerusi jaringan menarik pemain tengah, Rayan Cherki pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun, Ivory Coast bangkit mempamerkan aksi bertenaga pada babak kedua untuk menterjemah kemenangan menerusi jaringan Guela Doue dan Amad Diallo bagi memastikan kemenangan memihak kepada skuad The Elephants.
Perancis dijadualkan membuka kempen Piala Dunia menentang Senegal di New York pada 16 Jun ini, namun pemain tengah, Aurelien Tchouameni menegaskan keputusan perlawanan persahabatan itu tidak menggambarkan keupayaan sebenar mereka.
“Sangat dikesali apabila kami tewas, tetapi kami kini dalam fasa persediaan dan kami tetap berkeyakinan tinggi.
“Tiada rumusan mutlak yang boleh dibuat daripada perlawanan ini, walaupun sekiranya kami menang. Kami akan bersedia sepenuhnya apabila kejohanan bermula,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Deschamps menurunkan barisan eksperimen dengan merehatkan beberapa tonggak utama Paris Saint-Germain (PSG) yang baru sahaja merayakan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah selain melakukan pelbagai pertukaran pada separuh masa kedua.
Pertahanan Perancis, Lucas Hernandez turut senada dan enggan terlalu memikirkan kekalahan itu.
“Kami sentiasa mahukan kemenangan, tetapi kami berada dalam fasa persediaan dan banyak pertukaran telah dilakukan. Semangat pasukan kami tetap tinggi,” jelas Hernandez.
Deschamps mengakui anak buahnya hilang kawalan pada separuh masa kedua selepas mempamerkan aksi meyakinkan dalam tempoh 45 minit pertama.
Beliau turut memberi amaran bahawa pasukannya bakal berdepan lawan yang mempunyai kualiti fizikal dan kepantasan yang hampir sama di Amerika Syarikat nanti.
“Kekalahan sememangnya tidak pernah menyenangkan, walaupun kami melakukan beberapa perkara yang baik pada separuh masa pertama.
“Pada babak kedua, kami melakukan banyak pertukaran tetapi itu bukan alasan. Kami kurang menyengat selepas rehat, manakala pihak lawan pula membawa kepantasan yang tinggi. Kami akan menghadapi pasukan yang mempunyai corak permainan serupa pada 16 Jun ini,” ujar Deschamps.
Pengendali berusia 55 tahun itu menambah, kekalahan ini amat berguna bagi mengelakkan pemainnya daripada bersikap terlalu selesa sebelum kejohanan bermula.
“Ia adalah satu peringatan, sekiranya kami memerlukan peringatan itu, agar kami tidak menganggap diri kami terlalu bagus,” katanya.





