Perang Yarmuk tonjol umat Islam kuat

Perang Yarmuk tonjol umat Islam kuat


MEMASUKI bulan Jamadilakhir, umat Islam pastinya akan terkenang satu peperangan yang berlaku di Lembah Yarmuk, bersempadan Syam atau Tanah Arab pada tahun ke-15 Hijrah bersamaan 636 Masihi.

Perang Yarmuk berlaku selepas tentera Islam meluaskan penguasaan wilayah ke atas Syam yang dikuasai empayar Rom Byzantin, suatu kuasa besar dunia pada ketika itu.

“Penguasaan ini mengejutkan empayar Byzantin, lalu mereka mengerahkan pasukan tenteranya untuk mengusir tentera Islam dari wilayah tersebut.

“Menurut catatan Ibnu Kathir, tentera Rom telah menggerakkan bala tenteranya melebihi 240,000 orang, berbanding sekitar 30,000 tentera Islam.

“Mereka datang dengan niat untuk menghancurkan Islam dan mengusir umat islam dari bumi Syam,” ujar khatib dalam permulaan khutbah Jumaat bertajuk Ibrah peperangan Yarmuk: Lambang kekuatan umat Islam yang diterbitkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) minggu lalu.

Menurut JAIPk, selepas melihat ancaman tersebut, khalifah Umar Al-Khattab RA mengutuskan panglima tentera Islam, Khalid Al-Walid untuk menyatukan pasukan dari pelbagai wilayah selain menyusun strategi pertahanan.

“Khalid Al-Walid telah menyusun tentera Islam dengan penuh hikmah, membahagikan tentera Islam kepada beberapa sayap, di bawah pimpinan panglima-panglima hebat seperti Abu Ubaidah Al-Jarrah, Amru Al-As dan Yazid bin Abi Sufyan.

“Peperangan berlangsung selama enam hari. Walaupun tentera Islam jauh lebih kecil bilangannya, telah menunjukkan keberanian luar biasa,” katanya.

Jelasnya, mereka tidak gentar berhadapan dengan musuh yang ramai demi menegakkan panji Islam dengan penuh keyakinan kepada janji ALLAH SWT dalam ayat ke-40 surah al-Hajj: “Dan sesungguhnya ALLAH pasti menolong orang yang menolong agama-NYA (Islam). Sesungguhnya ALLAH benar-benar MAHA KUAT lagi MAHA PERKASA.”

Akhirnya dengan izin ALLAH SWT, tentera Islam memperoleh kemenangan dan Rom mengalami kekalahan teruk serta sebahagian besar tentera mereka terbunuh.

Sesungguhnya perang Yarmuk bukan sekadar kemenangan ketenteraan, tetapi melambangkan kemenangan iman atas kekufuran, tegas khatib.

Ibrah umat Islam hari ini

JAIPk menjelaskan, perang Yarmuk mengandungi pelbagai pengajaran berharga untuk dijadikan iktibar dalam usaha mahu membina kekuatan umat Islam pada hari ini:

1 – Kemenangan ditentukan ALLAH SWT.

Walaupun tentera Islam jumlahnya jauh lebih kecil berbanding tentera Rom, tetapi mereka menang kerana kekuatan iman dan keyakinan kepada janji ALLAH.

“Ini mengingatkan kita bahawa kekuatan umat Islam tidak semata-mata bergantung pada kebehabatan senjata, teknologi atau strategi, tetapi lebih utama didorong oleh kekuatan iman serta keberganrtungan dan keyakinan kita kepada ALLAH SWT,” ujar khatib.

2 – Perpaduan dan disiplin asas kejayaan.

Khalid Al-Walid RA selaku panglima tentera Islam berjaya menyatukan dan mendisiplinkan semua pasukan tentera Islam di bawah satu kepimpinan.

Sambung khatib, setiap sahabat berjuang bukan untuk nama peribadi, tetapi untuk mengangkat martabat Islam.

“Kemenangan peperangan Yarmuk tidak akan tercapai jika umat Islam ketika itu berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, mengingatkan kita bahawa bilangan yang ramai tidak memberi apa-apa makna andai kita berpecah, lantas menjadi lemah,” katanya sambil membacakan sepotong hadis:

“Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa lain akan mengerumuni kamu seperti orang yang sedang makan mengerumuni talam makanan mereka.” Para sahabat bertanya: “Apakah kerana sedikit jumlah kami ketika itu? Baginda menjawab: “Tidak, bahkam kamu ketika itu ramai, tetapi kamu seperti buih di lautan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

3 – Kepimpinan yang berwibawa membawa kekuatan.

Menurut khatib, Khalifah Umar Al-Khattab dan Khalid Al-Walid menunjukkan contoh kepimpinan yang adil, tegas dan amanah.

“Umat Islam hanya akan mencapai kemenangan apabila pemimpin dan rakyat sama-sama berpegang kepada prinsip Islam yang murni, bukan berpaksikan hawa nafsu dan kepentingan duniawi,” tegasnya.

4 – Strategi dan perancangan yang bijak.

Khalid Al-Walid RA mengatur strategi yang bijak, menggunakan kedudukan georgrafi, angin dan medan peperangan, mengajar kita bahawa Islam menuntut umatnya untuk bijaksana, berilmu, berpengatahuan dan bersedia menghadapi setiap urusan sama ada menangani cabaran ekonomi, pendidikan atau akidah.

Sebelum mengakhiri khutbah, khatib menegaskan, peperangan Yarmuk penting dalam sejarah dunia kerana ia tanda bermulanya gelombang besar penguasaan Islam di negara-negara luar Semenanjung Arab yang dicapai berlandaskan semangat juang tinggi serta kekuatan iman yang yakin kepada ALLAH SWT.

“Mari kita merenung sejenak, apakah kita masih memilki semangat juang yang sama dalam mempertahankan Islam pada hari ini? Atau kita telah menjadi lemah serta mudah tunduk kepada ancaman musuh?

“Sesungguhnya kisah ini mengingatkan kita bahawa Islam hanya akan bangkit apabila umatnya memiliki keberanian dan keimanan yang teguh, sebagaimana semangat dan iman yang dimiliki oleh para sahabat yang berjuang di medan Yarmuk,” pesannya.

Ringkasan AI

  • Perang Yarmuk adalah peperangan antara tentera Islam dan empayar Rom Byzantin pada tahun ke-15 Hijrah yang menyaksikan kemenangan tentera Islam Tentera Rom menggerakkan lebih dari 240,000 orang berbanding 30,000 tentera Islam dengan tujuan menghancurkan Islam Khalifah Umar Al-Khattab RA mengutus Khalid Al-Walid untuk menyatukan pasukan dan menyusun strategi yang berkesan Meskipun berada dalam bilangan yang lebih kecil, tentera Islam menunjukkan keberanian dan akhirnya memperoleh kemenangan dengan izin ALLAH SWT Perang Yarmuk dianggap sebagai lambang kemenangan iman atas kekufuran dan mengandungi pelbagai pengajaran berharga bagi umat Islam hari ini



Source link

OR

Scroll to Top