KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini menyaksikan pelbagai aksi menarik daripada barisan pasukan keselamatan yang berarak penuh bangga di Dataran Putrajaya.
Namun, di sebalik tumpuan yang lazimnya diberikan kepada anggota bomba, perhatian orang ramai kali ini beralih kepada sebuah telefon pintar misteri rona merah di genggaman pelakon, Ben Amir yang belum pernah memasuki pasaran tempatan.
Peranti misteri tarik perhatian
Pelakon utama filem Legasi: Bomba The Movie itu tampil sebagai salah seorang peserta perarakan, lengkap berpakaian bomba dan berdiri di atas pelantar sambil memegang peranti berkenaan.
Difahamkan, telefon tersebut adalah model baharu keluaran HONOR yang bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia tidak lama lagi.
Kehadirannya yang tidak dijangka itu pantas mencuri perhatian bukan sahaja penonton di lokasi, malah mencetuskan perbualan hangat di media sosial selepas momen itu tular.
Malah, reka bentuknya yang ringkas dengan warna merah terang yang menonjol mendorong sebilangan netizen menggelarkannya sebagai “Telefon Nasional Malaysia”.
Simbolik keberanian ‘Wira Merah’
Ben Amir bersama telefon pintar misteri berwarna merah yang mencuri perhatian semasa perarakan Hari Kebangsaan. – FOTO HONOR
Bagi Ben Amir sendiri, penyertaannya dalam perarakan tahun ini membawa makna tersendiri.
Dalam temu bual bersama TV3 dan 8TV, beliau melahirkan rasa bertuah sangat dapat turut serta pada perarakan Hari Kebangsaan ini sebagai anggota bomba.
“Telefon ini bagi saya nampak sangat kukuh dan boleh dipercayai, macam cabaran yang kami hadapi setiap hari.
“Warna telefon yang sama macam warna seragam bomba, terus aku teringat pasal ‘Wira Merah’.
“Ianya seperti suatu penghormatan kepada semua wira negara yang berkhidmat di barisan hadapan,” katanya.
Reka bentuk telefon pintar itu yang hadir dalam balutan merah dikatakan serasi dengan imej anggota bomba yang sinonim dengan keberanian dan pengorbanan.
Bukan sekadar warna, ciri fizikalnya yang kukuh turut mencerminkan ketahanan dan kebolehpercayaan dalam nilai yang dekat dengan tugas harian pasukan penyelamat.
Malah, nama jenama HONOR sendiri membawa maksud simbolik kepada semangat patriotik dan nilai keberanian yang dipegang oleh wira barisan hadapan.
Pihak HONOR Malaysia mengesahkan model tersebut bakal dilancarkan dalam masa terdekat. Buat masa ini, kemunculan sulungnya di acara gilang-gemilang itu sudah cukup untuk menjadikannya antara topik perbualan hangat di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut, ikuti saluran rasmi HONOR Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd