September 8, 2024

Perbincangan Pas, UMNO pada PRU-16 hanya `borak-borak santai’ – Fadhli

Perbincangan Pas, UMNO pada PRU-16 hanya `borak-borak santai’ – Fadhli


KUALA LUMPUR – Perbincangan mengenai kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) hanya `borak-borak santai’ ketika terserempak pemimpin-pemimpin UMNO di beberapa lokasi biasa.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia bukan perbincangan formal memandangkan beliau juga tidak berada di peringkat pembuat keputusan penting sama ada dalam Perikatan Nasional (PN) atau Pas.

“Sememangnya saya juga tidak menyebut adanya perbincangan untuk mewujudkan kerjasama.

“Apa yang saya nyatakan kepada wartawan hanyalah menjawab soalan, ada bertemu ke dengan pemimpin UMNO? Saya kata tentulah ada, jumpa di kafe parlimen, kenduri kahwin, terserempak di `airport’ dan sebagainya. Bila berjumpa, berborak, begitu jelah,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, adalah tidak manis untuk beliau menyebut nama-nama pemimpin UMNO yang terlibat dalam perbincangan tidak formal terbabit.

Katanya, beliau juga yakin ketika ditanya sama ada wujud harapan untuk melihat adanya kerjasama terjalin antara Pas dan UMNO pada masa depan.

“Saya dan ramai lagi sentiasa mengharapkan agar terjalin semula perpaduan ummah atas kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu sebagai majoriti di negara ini, merangkumi semua parti-parti berteraskan bumiputera. Sama ada ia berlaku atau tidak, masa akan menentukan,” katanya.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan memetik kenyataan Ahmad Fadhli yang mana beberapa pemimpin UMNO dan Pas ada bertemu secara tidak formal untuk membincangkan kerjasama menjelang PRU-16.

Ahmad Fadhli dilaporkan berkata, dalam pertemuan itu, pemimpin UMNO melahirkan harapan untuk parti tersebut kembali bekerjasama dengan Pas, namun takut untuk membelakangkan keputusan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menafikan wujud sebarang perbincangan antara kepimpinan UMNO dan Pas bagi membentuk kerjasama pada PRU-16.

Menurut Asyraf Wajdi, spekulasi wujud perbincangan mungkin berlaku dalam kalangan ahli atau penyokong, bukannya kepimpinan kedua-dua parti.

Sebelum ini, Ahmad Fadhli turut melahirkan keyakinan wujud masa depan yang cerah untuk penyatuan ummah dan orang Melayu khususnya pada masa hadapan di bawah kepimpinan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Pengamatan itu dibuat beliau ketika menilai hujah-hujah Muhamad Akmal pada program Skop MG baru-baru ini yang turut menggandingkan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai ahli panel bagi mengupas tajuk olitik Sesatkan Minda Anak Muda?

Pas dan UMNO sebelum ini pernah merintis kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN) yang piagamnya ditandatangani pada 14 September 2019 ekoran kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, MN pada dasarnya terkubur selepas UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan bertanding solo pada PRU-15 dan membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH manakala Pas memilih berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top