London: Vitor Pereira menegaskan beliau menaruh kepercayaan penuh terhadap pemilik Nottingham Forest, Evangelos Marinakis meskipun menjadi pengurus keempat kelab itu musim ini.
Pereira dilantik dengan kontrak 18 bulan selepas Sean Dyche turut disingkirkan, menyusul pemecatan Nuno Espirito Santo dan Ange Postecoglou sejak Ogos lalu.
Jurulatih berusia 57 tahun itu sebelum ini pernah bekerjasama dengan Marinakis ketika mengendalikan Olympiacos F.C. dan mengakui hubungan mereka cukup baik.
“Beliau bercita-cita tinggi dan mahu menang. Beliau seorang yang emosional, saya kenal beliau dengan baik. Beliau percaya kerja saya dan saya percaya personalitinya,” katanya.
Forest kini hanya tiga mata di atas zon penyingkiran dengan baki 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Pereira yang pernah membimbing Wolverhampton Wanderers keluar daripada zon bahaya musim lalu percaya skuad Forest memiliki kualiti untuk kekal dalam liga.
“Saya terima tugas ini kerana percaya pada potensi pemain dan cita-cita kelab. Saya yakin kita mampu dapatkan mata dan kekal,” katanya.
Aksi pertama Pereira bersama Forest adalah kunjungan ke Fenerbahce dalam play off Liga Europa, Jumaat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






