KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah arus pemodenan yang semakin rancak, identiti budaya tempatan dilihat semakin terpinggir dan ditelan zaman.
Namun, bagi dua pereka muda, Michelle Vun Yi Ling dari Universiti Malaya dan Xu Yinghai dari City University Malaysia, warisan budaya bukanlah sekadar tinggalan sejarah, sebaliknya aset berharga yang mampu diberi nafas baharu menerusi reka bentuk bermakna.
Kepercayaan inilah yang melayakkan kedua-dua mereka dinobat sebagai pemenang Anugerah Emas di Asia Young Designer Awards (AYDA) 2025.
Ia sekali gus membuktikan daya kreativiti mereka tidak hanya terbatas di atas kertas.
Seni sebagai jambatan budaya
Kejayaan mereka selari dengan tema AYDA tahun ini iaitu ‘Coverage: Crafting Cultural Legacies’ yang mencabar pereka muda untuk mengkaji semula warisan dan tradisi tempatan.
Projek ‘Reimagining Floating Future: Tanjung Aru Tourism Experiential Hub’, menghubungkan semula komuniti perairan Sabah menerusi kerangka pelancongan yang diinspirasikan oleh warisan etnik Bajau.
Michelle yang menjuarai kategori Seni Bina memukau panel juri menerusi ‘Reimagining Floating Future: Tanjung Aru Tourism Experiential Hub’.
Ia diterjemahkan menerusi konsep hab pelancongan terapung berteraskan komuniti dengan menyatukan elemen warisan etnik Bajau melalui ruang kreatif seperti Studio Sambulayang, bengkel membaiki bot lepa serta gerai makanan di atas air.
Projek ini bukan sekadar mengejar estetika visual semata-mata, tetapi juga bertujuan menyuntik nafas baharu kepada budaya tempatan, memperkasa penglibatan penduduk serta membuka peluang ekonomi.
Melalui inisiatif ini, Michelle membuktikan pembangunan yang mampan di pesisir pantai mampu dicapai tanpa perlu melupakan nilai tradisi.
Bagi Michelle, penglibatannya dalam projek ini memberi kesedaran bahawa budaya dan komuniti adalah dua elemen yang saling melengkapi dan mustahil untuk dipisahkan.
“Matlamat saya adalah untuk menghargai setiap naratif masyarakat Bajau sambil membuktikan seni reka bentuk sebenarnya mampu menjadi pemangkin kepada masa depan mereka,” katanya.
Projek Track INK mentransformasikan sebuah kilang terbiar menjadi ruang komuniti budaya yang menghidupkan seni kaligrafi Cina menerusi reka bentuk yang imersif.
Bagi Yinghai pula, kejayaan ini bukanlah sebuah perjalanan yang mudah.
Selepas hanya bergelar finalis tahun lalu, beliau kembali ke pentas AYDA dengan semangat dan visi yang lebih jelas menerusi projeknya yang dinamakan Track INK.
Projek ini menyaksikan transformasi sebuah kilang terbiar di Luoyang menjadi sebuah ruang budaya yang menghidupkan semula seni kaligrafi Cina.
Reka bentuk ruang tersebut diilhamkan daripada kehalusan seni kaligrafi, membolehkan pengunjung merasai keindahan seni itu secara intuitif menerusi penggunaan bingkai kayu ringkas serta pencahayaan yang menenangkan.
Struktur Track INK dibahagikan secara strategik kepada tiga zon utama, bermula dengan zon interaktif untuk pengunjung mencuba asas kaligrafi, diikuti ruang sosial untuk perbincangan bersama serta zon pembelajaran yang memperincikan sejarah dan makna di sebalik seni tradisi tersebut.
Menerusi projek ini, Yinghai berjaya menyatukan tradisi dan komuniti serta membantu masyarakat kembali menghargai warisan yang semakin hilang.
Sebagai pemenang emas, Michelle dan Yinghai bukan sahaja membawa pulang hadiah wang tunai, malah akan mewakili Malaysia ke peringkat akhir serantau yang melibatkan 19 wilayah.
Paling mengujakan, mereka turut berpeluang mengikuti Program Design Discovery bernilai USD10,000 di Harvard Graduate School of Design, Amerika Syarikat.
Platform iktiraf bakat tempatan
Pencapaian luar biasa ini turut mendapat pujian daripada Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia, Tay Sze Tuck.
Menurutnya, projek yang dipertaruhkan tahun ini memaparkan keikhlasan pereka muda dalam menghargai komuniti mereka, selain menunjukkan kemahiran teknikal yang tinggi.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Berhad, Datuk Tony Ling Thou Lung berkata, AYDA bukan sekadar platform anugerah, sebaliknya pemangkin kepada masa hadapan industri binaan dengan menyediakan ruang kepada pereka muda untuk membentuk identiti serta suara kreatif mereka sendiri.
“Kerjasama jangka panjang kami bersama Nippon Paint berlandaskan kepercayaan bersama bahawa kreativiti berupaya memperkayakan kehidupan seharian serta melahirkan ruang yang bermakna dan lestari.
“Dengan memupuk bakat reka bentuk generasi muda, kami melabur dalam masa depan di mana bandar dan komuniti diperkaya melalui reka bentuk yang berlandaskan tujuan,” katanya
Sejak diperkenalkan pada tahun 2008, AYDA kini berkembang menjadi platform yang memberi ruang untuk pelajar tempatan mempamerkan hasil reka bentuk dan daya kreatif paling berpengaruh di Asia.
Bagi edisi 2025, sebanyak 1,764 penyertaan berjaya diterima daripada pelajar di seluruh Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd






