Pergaduhan abang ipar, adik ipar berakhir dengan pembunuhan kejam

Pergaduhan abang ipar, adik ipar berakhir dengan pembunuhan kejam


am@hmetro.com.my

Jerlun: Seorang lelaki maut dengan kepalanya putus akibat ditetak adik ipar dalam satu pergaduhan di kawasan sawah di Kampung Pida 3, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat pergaduhan berlaku pada jam 7.05 malam tadi.

Beliau berkata, mayat seorang lelaki ditemui terlentang dalam sawah padi yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah suspek.

“Suspek ditahan kira-kira jam 8 malam selepas polis berjaya memujuk suspek yang ketika itu masih memegang parang.

“Parang berukuran 30 sentimeter (sm) panjang dirampas untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Mohd Radzi berkata, hasil siasatan mendapati, suspek dan mangsa mempunyai pertalian abang dan adik ipar.

Beliau berkata, keadaan mangsa ketika itu terlentang dengan kepalanya putus dan terletak satu meter dari badan selain beberapa kesan tetakan ditemui di bahagian badan mangsa.

“Umur mangsa 45 tahun manakala suspek pula berusia 38 tahun.

“Selepas kejadian, suspek berada di dalam bilik di rumahnya sebelum dipujuk keluar kira-kira 15 minit kemudian,” katanya.

Mohd Radzi berkata, hasil siasatan juga mendapati, suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Beliau berkata, kedua-duanya bekerja sebagai pesawah dan setakat ini polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian dan motif kejadian.

“Mangsa mempunyai isteri dan dua anak manakala suspek masih bujang. Mereka tinggal berhampiran.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat dan suspek akan direman esok di Mahkamah Alor Setar ,” katanya.

Katanya, setakat ini punca masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat setempat diharap tidak berkongsi perkara tidak sahih dan motif kejadian masih dalam siasatan sehingga mendapat pengesahan melalui siasatan polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top