ARAU: Umat Islam diingatkan kepada hakikat kehidupan dan perjalanan menuju akhirat melalui kupasan surah al-Waqiah dalam tazkirah yang disampaikan Ustazah Nadiyah Hashim.
Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memberi tazkirah sempena Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran peringkat Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), semalam.
Tazkirah yang diadakan bersempena dengan Nuzul Al-Quran itu menyoroti kandungan surah Al-Waqiah, surah Makkiyah yang mengandungi 96 ayat.
Menurut Ustazah Nadiyah, surah ini membicarakan peristiwa hari kiamat, yang mana manusia akan terbahagi kepada tiga golongan iaitu golongan kanan (Ashabul Yamin), golongan kiri (Ashabul Syimal) dan golongan terdahulu (As-Sabiqun).
“Hari ini kita direzekikan untuk berada di sini, melakukan perkara baik pada hari yang baik. Kita lihat bagaimana ayat pertama hingga keenam dalam surah ini menggambarkan kedahsyatan hari kiamat, dengan bumi bergoncang dan gunung-gunung hancur menjadi debu.
“Jika pagi tadi kita di Perlis turut merasai gegaran gempa bumi dari Sumatera, bayangkanlah bagaimana hebatnya kejadian kiamat kelak,” katanya.
Mengulas mengenai golongan manusia di akhirat, terang Ustazah Nadiyah, golongan as-Sabiqun adalah mereka yang paling dekat dengan Allah dan diberikan nikmat syurga yang luar biasa.
“Golongan kanan juga mendapat nikmat syurga, termasuk minuman arak yang tidak memabukkan serta pasangan bidadari yang sentiasa muda.
“Manakala golongan kiri akan menerima azab yang pedih, termasuk berada dalam angin panas, air mendidih, serta naungan asap hitam yang menyeksakan.
“Surah ini turut mengingatkan manusia kepada asal-usul kejadian mereka dan detik kematian yang pasti akan dirasai oleh setiap insan.
“Ayat 81 hingga 87 menggambarkan keadaan roh manusia yang sampai ke halkum ketika nazak, di mana saat itu tiada lagi peluang untuk kembali ke dunia,” teranf Ustazah Nadiyah lagi.
Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis itu menghimpunkan hampir 200 peserta dan bermula seawal jam 8 pagi.
Program ini bertujuan menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Quran serta meningkatkan kefahaman terhadap isi kandungannya. – HARAKAHDAILY 19/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!