Perjalanan lancar bermula daripada sikap penumpang

Perjalanan lancar bermula daripada sikap penumpang


Lapangan terbang kini bukan sekadar pintu perlepasan, sebaliknya cerminan sikap penumpang. 

Ketika musim perayaan memuncak dan ribuan penerbangan berlepas setiap hari, satu gurauan silap atau tindakan cuai sudah cukup untuk melumpuhkan operasi dan menjejaskan perjalanan ramai. 

Pada tahun ini, kesibukan perjalanan sempena musim perayaan dipacu oleh sambutan berturut-turut, bermula dengan Tahun Baharu Cina dan diikuti pula dengan perjalanan menjelang bulan Ramadan. 

Dengan lebih ramai rakyat Malaysia memilih untuk menaiki penerbangan bagi mengeratkan silaturahim bersama insan tersayang atau merancang perjalanan awal balik kampung, lapangan terbang kini menyaksikan jumlah penumpang yang amat tinggi, menjadikan persediaan rapi dan amalan perjalanan yang bertanggungjawab lebih penting berbanding sebelumnya.

Lebih membimbangkan, beberapa insiden kebelakangan ini menunjukkan bagaimana tindakan sambil lewa atau gurauan tidak kena tempat berkaitan keselamatan mampu mencetuskan gangguan serius. 

Hakikatnya, perancangan awal dan sikap bertanggungjawab sudah memadai untuk memastikan perjalanan berjalan lancar. Justeru, Malaysia Airports berkongsi panduan penting agar kegembiraan percutian tidak dicemari kekecohan.

Persediaan bijak melancarkan perjalanan

1. Luangkan Masa yang Mencukupi untuk Pengalaman di Lapangan Terbang yang Lebih Selesa

Seiring peningkatan jumlah penumpang sepanjang musim cuti, setiap proses di lapangan terbang berpotensi mengambil masa lebih lama. Oleh itu, penumpang disaran tiba lebih awal bagi memberi ruang mencukupi untuk urusan daftar masuk, pemeriksaan keselamatan dan menaiki pesawat tanpa tergesa-gesa. 

2. Kemudahan daftar masuk dalam talian yang ditawarkan syarikat penerbangan juga boleh dimanfaatkan untuk menjimatkan masa.

Dalam pada itu, maklumat penerbangan perlu sentiasa dipantau kerana perubahan jadual boleh berlaku pada bila-bila masa. 

Aplikasi MYAirports atau aplikasi syarikat penerbangan menjadi rujukan penting untuk mendapatkan kemas kini masa nyata.

3. Pastikan Dokumen Penting Mudah Dicapai

Selain itu, dokumen perjalanan seperti pasport, pas menaiki pesawat dan pengenalan diri wajar disimpan di tempat mudah dicapai bagi mempercepatkan pemeriksaan dan mengurangkan masa menunggu.

4. Patuhi Arahan Keselamatan dengan Teliti

Pematuhan terhadap arahan keselamatan juga tidak boleh dipandang ringan. Setiap pemeriksaan dilakukan demi keselamatan bersama, dan kerjasama penumpang mampu melancarkan keseluruhan proses.

5. Sediakan Keperluan Perjalanan dengan Bijak dan Ringkas

Dari segi bagasi pula, penumpang disaran mengemas secara bijak dengan mematuhi peraturan cecair dan barangan larangan supaya tidak berdepan kesulitan di pintu keselamatan.

Elak tindakan yang mengundang masalah

1. Jangan Bergurau Tentang Keselamatan atau Ancaman

Lapangan terbang merupakan zon keselamatan tinggi, maka sebarang gurauan berkaitan bom, ancaman atau keganasan dianggap serius dan boleh membawa akibat buruk. 

Bukan sahaja perjalanan sendiri terjejas, malah penumpang boleh berdepan tindakan pihak berkuasa. Satu kenyataan cuai sudah cukup untuk memusnahkan percutian yang dirancang rapi.

2. Jangan Bawa Barangan Terlarang

Selain itu, membawa barangan terlarang tanpa disedari boleh menyebabkan bagasi dirampas atau ditahan, seterusnya mengganggu jadual perjalanan.

3. Jangan Tinggalkan Bagasi Tanpa Pengawasan

Penumpang juga diingatkan agar tidak meninggalkan bagasi tanpa pengawasan kerana tindakan itu boleh mencetuskan amaran keselamatan dan mengganggu operasi terminal.

4. Jangan Abaikan Pengumuman Rasmi

Pengumuman rasmi di lapangan terbang pula perlu diberi perhatian kerana ia menyampaikan maklumat penting berkaitan perubahan pintu pelepasan, kelewatan atau arahan khas.

5. Jangan Biarkan Kelewatan Menimbulkan Ketegangan

Sekiranya berdepan kelewatan, penumpang digalakkan kekal tenang dan bersikap positif. 

Kelewatan adalah perkara yang boleh berlaku, terutama ketika musim puncak. Sedikit kesabaran dan sikap bertolak ansur mampu mengekalkan semangat perayaan dalam suasana yang sibuk.

Keselamatan tanggungjawab bersama

Keselamatan dan kelancaran perjalanan bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama semua penumpang. 

Dengan sentiasa peka, berhemah dan mematuhi peraturan, setiap individu membantu melindungi bukan sahaja perjalanan sendiri, malah pengalaman penumpang lain.

Malaysia Airports kekal komited menyediakan persekitaran lapangan terbang yang selamat, cekap dan mesra. Orang ramai digalakkan merujuk saluran rasmi Malaysia Airports serta aplikasi MYAirports bagi mendapatkan maklumat perjalanan terkini sepanjang musim perayaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top