Perjalanan setahun penuh makna buat Thousands of Years Media

Perjalanan setahun penuh makna buat Thousands of Years Media


KUALA LUMPUR: Syarikat media dan hiburan yang semakin mencipta nama, Thousands of Years Media (ToYm), baru-baru ini menyambut ulang tahun pertamanya menerusi sebuah majlis yang berlangsung di Majestic Marine Ballroom, Confetti Kuala Lumpur.

Diasaskan oleh Datuk Wira Jment Lim, syarikat ini memfokuskan kepada penerbitan drama mikro, pembangunan bakat serta kursus pendidikan, teknologi dan pemasaran. 

Majlis yang menghimpunkan rakan strategik, pencipta kandungan, agensi media, bakat muda serta kolaborator itu menandakan satu lagi pencapaian penting buat syarikat berkenaan. 

Dalam majlis sama, ToYm berkongsi hala tuju baharu dalam pembangunan drama mikro, drama berepisod dengan durasi antara satu ke tiga minit, selain inisiatif merangkumi empat teras utama serta komitmen berterusan terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Datuk Wira Jment Lim dalam ucapannya menegaskan bahawa visi penubuhan ToYm adalah untuk membawa lebih banyak kegembiraan dan kebahagiaan kepada dunia melalui kewujudan syarikat itu. 

“Permulaan dan pengakhiran hidup kita adalah sama, namun yang membezakan adalah apa yang kita lakukan di antara keduanya dan apa yang kita tinggalkan. 

“Saya berharap agar apa yang saya tinggalkan nanti membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada orang lain,” katanya. 

Beliau turut menekankan bahawa tanggungjawab sosial bukan sekadar slogan atau gimik publisiti, sebaliknya menjadi teras kepada setiap produksi, produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh ToYm. 

Giat hasilkan drama mikro 

Seiring momentum setahun penubuhan, ToYm kini sedang giat menghasilkan pelbagai drama mikro dalam bahasa Cina dan Melayu dengan penekanan khusus terhadap kandungan tempatan yang dekat dengan nilai kekeluargaan dan emosi penonton Malaysia. 

Antaranya termasuk ‘Seikat Kasih’ yang bakal memulakan penggambaran pada 23 Disember ini dan dijadualkan ditayangkan sempena Hari Raya Aidilfitri 2026. 

Dihasilkan sepenuhnya oleh pihak produksi ToYm, Seikat Kasih memaparkan kisah hubungan kekeluargaan yang diuji dengan konflik kehidupan. 

Ia sekali gus mencerminkan aspirasi ToYm dalam menghasilkan karya drama mikro yang bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan nilai dan mesej bermakna. 

Projek ini turut dilihat sebagai inisiatif strategik ToYm dalam memperluaskan penawaran kandungan berbahasa Melayu serta mendekati penonton tempatan merentas generasi. 

Syarikat itu juga sudah merancang pembikinan drama mikro bersempena Tahun Baharu Cina berjudul When Luck Meets Love, menampilkan Cathryn Lee dan Xiao Wei Wei. 

Menariknya, projek berkenaan menggunakan pendekatan penggambaran dwi-format secara mendatar dan menegak bagi memaksimumkan akses merentas platform.

Selain itu, ToYm juga sedang merancang sehingga 15 drama mikro baharu bagi merancakkan lagi industri terbabit.

Sokong pertumbuhan industri 

Dalam usaha menyokong pertumbuhan industri drama mikro tempatan, Datuk Wira Jment Lim turut mengumumkan pelancaran beberapa inisiatif baharu, termasuk Pertandingan Penulisan Lagu ToYm yang memerlukan peserta menggubah lagu asli berdasarkan judul mikro drama terbitannya.. 

Setiap drama mikro akan mempunyai sebuah lagu pemenang, dengan perincian pertandingan akan diumumkan menerusi platform media sosial ToYm Januari ini.

Selain itu, ToYm turut memperkenalkan Kursus Lakonan Drama Mikro ToYm yang memfokuskan kepada kemahiran praktikal di set penggambaran seperti penyampaian dialog, lakonan kamera, kawalan emosi dan ekspresi wajah.

Menerusi kursus ini, peserta berpeluang untuk terlibat secara langsung di dalam produksi drama mikro akan datang terbitan ToYm.

Tidak terhenti di situ, Kursus Produksi Drama Mikro ToYm turut diperkenalkan dan dikendalikan oleh pasukan produksi syarikat merangkumi pengarah, penulis skrip, penerbit dan editor. 

Program ini memberi pendedahan menyeluruh mengenai aliran kerja produksi drama mikro serta peluang kepada pelajar cemerlang untuk menyertai kru produksi ToYm.

Menutup ucapannya, beliau mengajak rakan industri untuk bersama-sama membangunkan industri drama mikro tempatan menerusi ekosistem yang dibangunkan ToYm. 

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top