ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aksi penutup tirai Kejohanan Piala Dunia Dalam Dewan Lelaki 2025 esok bakal menjadi persembahan terakhir buat skuad negara dalam usaha menebus maruah yang tercalar dan mengelak kedudukan tercorot.
Malaysia dijadual menentang Trinidad & Tobago dalam aksi klasifikasi tempat ke-11 dan 12 di Pusat Sukan Zatika, Porec, Croatia, dengan misi memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.
Ketua jurulatih, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi, menuntut anak buahnya memberikan aksi terbaik dan menamatkan kejohanan ini dengan kemenangan.
“Kami tak mahu datang ke sini sekadar menjadi pasukan tercorot. Ini peluang terakhir untuk menunjukkan kemampuan sebenar dan menamatkan saingan di tempat ke-11,” katanya.
Semalam, skuad negara sekali lagi tewas kepada Argentina 2-6 dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-12, selepas tewas 2-5 kepada lawan sama di peringkat kumpulan.
Lebih menyedihkan, Malaysia menamatkan saingan peringkat Kumpulan B di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata selepas tewas kepada Jerman dan Iran.
Rodzhanizam mengakui ada peningkatan dalam persembahan pemain tetapi kegagalan memanfaatkan peluang menjadi punca utama kekalahan.
“Mereka sudah berusaha dan bermain baik tetapi masih ada kekurangan, terutama dalam penyudah. Kami ada peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal mengambilnya dengan baik, dan itulah yang membezakan keputusan perlawanan,” katanya.
Dengan misi mengelak menjadi pasukan tercorot, skuad negara bakal turun dengan tekad baharu untuk memastikan mereka menamatkan kejohanan dengan sedikit kebanggaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd