harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan perjuangan memerangi rasuah tidak boleh bermusim, ia mesti konsisten dan paling penting tiada dwi standard.
Presiden MCW Jais Abdul Karim berkata, konsistensi merupakan prinsip paling asas dan utama dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa.
“Dalam perjuangan memerangi rasuah dan mempertahankan tata kelola negara, satu prinsip paling asas ialah konsistensi, tanpanya integriti akan bertukar menjadi slogan, tanpa keberanian moral yang seimbang, keadilan akan dilihat selektif.
“Standard berganda berbahaya kepada negara, negara tidak akan runtuh kerana satu siasatan, tetapi negara boleh lemah kerana persepsi bahawa keadilan bersifat selektif.
“Jika ketika melibatkan sekutu politik, nada menjadi lembut, tetapi ketika melibatkan pihak lain nada menjadi agresif, rakyat akan mula mempersoalkan keikhlasan perjuangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, segelintir ahli politik ketika ini lantang mengkritik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi timbul persoalan adakah nada lantang sama digunakan pihak berkenaan sekiranya membabitkan spektrum politik mereka.
Katanya, sesebuah institusi itu lebih penting daripada individu yang dikaitkan dengan rasuah justeru sekiranya ada kelemahan dalam peraturan maka ia perlu ditambah baik bagi menutup ruang manipulasi.
“Melemahkan institusi penguatkuasaan melalui tekanan politik berterusan tanpa asas kukuh juga bukan jalan penyelesaian.
“Kita tidak mahu Malaysia mengulangi kesilapan negara lain di mana institusi antirasuah dilemahkan secara perlahan melalui tekanan politik, sehingga akhirnya menjadi tidak efektif,” katanya.
Jais berkata, semua pihak terbabit perlu tegas dan berani mengambil tindakan secara konsisten tanpa memikirkan populariti bagi mempertahankan prinsip integriti.
Katanya, ‘integriti’ adalah sebuah prinsip dan tidak sepatutnya digunakan sebagai senjata politik bagi menjatuhkan antara satu sama lain merupakan tindakan tidak wajar.
“MCW tidak mempertahankan individu, MCW mempertahankan prinsip. Kita harus bertanya secara jujur, adakah kita menilai kes berdasarkan fakta dan proses? adakah kita menilai berdasarkan siapa individu tersebut?
“Adakah seseorang lebih mudah diserang kerana beliau mengetuai institusi yang sedang menyiasat ramai tokoh politik?
“Sejarah menunjukkan bahawa apabila institusi penguatkuasaan mula menyiasat tokoh besar pembangkang atau kerajaan serangan terhadap individu yang mengetuai institusi (penguatkuasaan) itu akan meningkat,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






