saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Impian sandaran terbaik negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mara lebih jauh di Seluruh England lebur selepas beregu profesional nombor dua dunia itu tersungkur di pusingan kedua, sebentar tadi.
Berlangsung di Utilita Arena Birmingham, Sze Fei-Izzuddin tewas 16-21, 13-21 di tangan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam tempoh 36 minit.
Bagi Won Ho-Seung Jae, mereka berjaya membalas dendam selepas tewas kepada Sze Fei-Izzuddin pada pertemuan pertama di final Terbuka India, Januari lalu.
Kekalahan Sze Fei-Izzuddin menyaksikan berakhir sudah perjuangan beregu lelaki negara di kejohanan berprestj itu.
Sze Fei-Izzuddin sebelum ini dilihat menjadi sandaran terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan pemain negara di Seluruh England selepas mempamer lonjakan prestasi dan konsistensi yang ditunjukkan sejak tujuh bulan lalu.
Mereka menjuarai empat kejohanan Jelajah Dunia BWF, termasuk Terbuka Jepun, China, Artik 2024, serta Terbuka India 2025.
Mereka turut menjadi naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF Disember lalu.
Kali terakhir Malaysia menjuarai Seluruh England adalah menerusi Lee Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki empat tahun lalu, manakala kejayaan beregu lelaki terakhir dicapai oleh Koo Kien Keat-Tan Boong Heong pada 2007.
© New Straits Times Press (M) Bhd