PERKESO buru majikan culas daftar, carum pekerja asing

PERKESO buru majikan culas daftar, carum pekerja asing


Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengaktifkan Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Pekerja Asing 2024, semalam bagi memburu majikan yang culas mendaftarkan dan mencarum pekerja asing.

Ops Kesan membabitkan sekitar 300 pegawai PERKESO daripada 54 pejabat seluruh negara itu turut membabitkan ekspatriat dan pekerja domestik yang layak bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969 (Akta 4).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata selepas meneliti data daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) masih ramai lagi pekerja asing yang mempunyai pas lawatan yang sah, tetapi belum berdaftar dengan PERKESO.

“Dari segi statistik jumlah pekerja asing yang mempunyai pas lawatan sah lebih daripada 2.4 juta, tetapi yang berdaftar dengan PERKESO kurang daripada dua juta.

“Kita berasakan Ops Kesan perlu diadakan berdasarkan statistik PERKESO sehingga 30 September hanya sekitar 88 peratus sahaja pekerja asing di Malaysia yang berdaftar dengan PERKESO.

“Bagi pekerja domestik asing pula sekitar 59 peratus. Masih ramai lagi pekerja asing yang tidak mempunyai perlindungan keselamatan sosial.

Jika berlaku kemalangan ataupun kecederaan mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan,” katanya pada sidang media Pelancaran Ops Kesan Pekerja Asing, di Menara PERKESO di sini, semalam.

Beliau berkata, ramai pekerja asing yang dibawa masuk menggunakan pas lawatan daripada syarikat tertentu, tetapi mereka tidak bekerja dengan syarikat yang diberi kelulusan, sebaliknya bekerja dengan syarikat lain.

Kena penjara, denda

“Saya ingin tekankan, selagi mereka pekerja sah, sama ada dengan syarikat membawa mereka masuk ataupun syarikat lain, mereka perlu dan wajib dilindungi.

“Syarikat yang menggajikan mereka bertanggungjawab mendaftar dan memastikan pekerja ini dibayar caruman. Saya harap majikan yang masih belum mendaftar tampil dengan segera, untuk mendaftar pekerja terutama pekerja domestik yang masih lagi rendah (peratusan).

“Kesalahan gagal atau lewat mendaftar perusahaan atau pekerja boleh mengakibatkan pemilik perusahaan atau majikan dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Jika kita mulakan Ops Kesan, apabila didapati tidak mendaftar dan mencarum kita akan keluarkan kompaun,” katanya.

Katanya, Ops Kesan akan dijalankan selagi data yang ada dengan PERKESO belum sepadan dengan Imigresen.

“Sekarang ini masih jauh. Maknanya hampir 300,000 pekerja asing di luar sana belum didaftar dan tiada dalam data PERKESO. Kita akan laksanakan (Ops Kesan) berterusan.

“Walaupun kita menggajikan pekerja tempatan, kita masih perlu membayar dan mencarum kenapa pekerja asing sahaja dikaitkan dengan impak terhadap ekonomi, tiada sebab untuk kita mempunyai double standard dalam hal ini.

“Kalau pekerja tempatan kita kena daftar dan carum, pekerja asing juga sama. Tiada perbezaan,” katanya.

Dalam Ops Kesan yang dijalankan sejak 2009 sehingga Oktober, sebanyak 24,801 Notis Kompaun bernilai RM19.1 juta sudah dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja, manakala 25,574 kes sudah didakwa di atas pelbagai kesalahan.

Karnival Kerjaya di Johor tawar lebih 15,000 peluang pekerjaan

Sementara itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Johor kembali bekerjasama dengan kerajaan negeri menganjurkan Karnival Kerjaya buat kali ke-10 tahun ini.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor itu mendapat maklum balas positif

daripada pengunjung, terutama pencari pekerjaan.

Pada karnival kerjaya kali ini, lebih 100 majikan mengambil bahagian dengan tawaran gaji RM3,000 ke atas serta 15,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti perhotelan, pembinaan dan penerbangan.

Selain tawaran kerja, turut disediakan temu duga gamifikasi, ekspo produk, latihan TVET, pameran keusahawanan, forum TVET dan banyak lagi.

Esok, Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dijangka dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagi Amni Dahiyah Daud, 48, karnival kerjaya itu amat membantu dirinya yang ingin mencari pekerjaan dalam bidang pentadbiran dan kerja pejabat selepas dia yang juga orang kurang upaya (OKU) sudah dua tahun bekerja sebagai penjilid buku di Pertubuhan Pemulihan Kurang Upaya (JARO).

“Sebelum ini saya bekerja sebagai penyelia asrama selama lapan tahun dan kemudian disahkan OKU fizikal akibat tulang belakang beralih. Selama 10 tahun saya tidak boleh bekerja dan kemudian berkhidmat di JARO.

“Tetapi, itu bukan bidang saya, saya lebih berminat dengan kerja pejabat  ” katanya yang memohon jawatan khidmat pelanggan di karnival kerjaya itu.

Amni Dahiyah yang tinggal di Taman Austin Duta, di sini, tiba seawal jam 8.30 pagi dan berharap karnival kerjaya seumpama itu dapat dianjurkan dengan lebih kerap.

“Saya memang sedang cari kerja. Di karnival ini semua mudah.

Mereka akan minta kita hantar resume dan mereka terangkan mengenai skop kerja. Tidak kira usia dan siapapun boleh datang sama ada yang baharu mencari pekerjaan atau yang mahu tingkatkan kerjaya,” katanya.

Mudahkan proses cari kerja

Bagi Hafiz Abdul Manap, 29, dari Taman Universiti, Skudai, pula dia mendapat tahu mengenai karnival kerjaya itu menerusi media sosial.

“Saya memang belum pernah bekerja dan hanya berpengalaman bekerja ketika latihan amali. 

Saya ada mohon kerja di beberapa syarikat dan Alhamdulillah semua berjalan lancar.

“Memang karnival kerjaya sebegini dapat membantu memudahkan proses mereka yang ingin mencari pekerjaan,” katanya yang memiliki kelulusan diploma dalam bidang perakaunan.

Muhammad Amri Haikal Abdul Aziz, 28, pula berkata dia sedang mencari pekerjaan tetap selepas kontraknya bersama Kementerian Kesihatan (KKM) tamat dan kini bekerja secara sambilan sebagai data analisis.

“Isteri yang beritahu ada karnival kerjaya ini, jadi saya tidak mahu lepaskan peluang untuk datang dan mohon kerja. Saya memang suka cari kerja menerusi karnival kerana ia mengumpulkan banyak syarikat di bawah satu bumbung dan ia lebih mudah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top