fahmy.azril@bh.com.my
Kuala Lumpur: Perkhidmatan tren KTM Komuter dan tren elektrik (ETS) mengalami gangguan petang tadi susulan hujan lebat serta angin kencang yang melanda ibu negara.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan cuaca buruk sehingga berlakunya pokok tumbang menyebabkan gangguan bekalan kuasa antara laluan Salak Selatan dan Simpang Batu di ibu kota.
Ia sekali gus menjejaskan perjalanan tren berkenaan sehingga mencetuskan kelewatan sehingga melebihi 60 minit dari jadual asal.
Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan pokok tumbang dan baik pulih alat talian selesai sekitar jam 8 malam.
“Operasi perkhidmatan KTM Komuter dan ETS akan beroperasi seperti biasa namun masih mengalami reaksi kelewatan semasa,” katanya.
Mengikut kemaskini KTMB di laman Facebook, 10 stesennya dijangka mengalami kelewatan perkhidmatan antara 30 minit hingga lebih sejam.
Ia membabitkan Stesen Subang Jaya, Sungai Buloh, Kepong, Putra, Seri Setia, Pantai Dalam, Kajang, Bank Negara, Seputeh dan Salak Selatan.
Terdahulu, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kecang di beberapa negeri.
Dalam kenyataan dikeluarkan sekitar jam 1 tengah hari, MetMalaysia memaklumkan cuaca buruk dijangka menjejaskan Bentong di Pahang, selain beberapa kawasan di Selangor meliputi Klang, Gombak dan Petaling serta Kuala Lumpur.
Keadaan sama diramal melanda Negeri Sembilan (Jelebu) dan Johor (Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Di Sabah, kawasan pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Kota Kinabalu dan Tuaran) serta Sandakan (Tongod, Kinabatangan dan Sandakan) turut dijangka mengalami keadaan cuaca serupa.
Sementara itu di Sarawak, kawasan terjejas ialah Mukah (Dalat dan Mukah), Bintulu (Tatau dan Bintulu) serta Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).
© New Straits Times Press (M) Bhd






