Perkhidmatan Penduduk Setiawangsa Kekal Berjalan Lancar Walaupun Kerusi Parlimen Dikosongkan

Perkhidmatan Penduduk Setiawangsa Kekal Berjalan Lancar Walaupun Kerusi Parlimen Dikosongkan


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberi jaminan urusan melibatkan penduduk Setiawangsa akan terus berjalan lancar meskipun kerusi Parlimen kawasan itu dikosongkan oleh penyandangnya, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Jelas Hannah, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud telah diminta membantu memperkukuhkan peranan Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Setiawangsa dalam menangani isu setempat termasuk aduan dan keperluan penduduk.

Katanya, langkah itu termasuk penambahan tenaga kerja bagi mempercepatkan tindakan di lapangan sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya merujuk kepada pengumuman Nik Nazmi untuk mengosongkan kerusi Ahli Parlimen Setiawangsa.

“Saya mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau kepada warga Kuala Lumpur sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya ingin memberi keyakinan kepada penduduk Setiawangsa bahawa perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hannah berkata, penduduk boleh mengemukakan aduan melalui Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa D’Wangsa di 1, Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-4142 2740 serta e-mel [email protected].

Beliau turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi meneruskan usaha melindungi dan memelihara Bukit Dinding agar ia kekal sebagai paru-paru hijau Kuala Lumpur untuk manfaat penduduk setempat.

Semalam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli mengumumkan keluar parti serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Kedua-dua bekas menteri itu akan menyertai Parti Bersama Malaysia sebagai platform politik baharu.

KREDIT GAMBAR UTAMA: THE EDGE MALAYSIA






Source link

OR

Scroll to Top