Perkongsian pintar industri nanas perlu digalakkan untuk tingkat pengeluaran

Perkongsian pintar industri nanas perlu digalakkan untuk tingkat pengeluaran


farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Perkongsian pintar teknologi industri nanas menerusi seminar disertai pakar tempatan dan antarabangsa perlu digalakkan bagi meningkatkan pengeluaran buah tropika itu sekali gus memodenkan sektor berkenaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata seminar dengan pembentangan kertas kerja pakar industri nanas rantau ini juga mampu meningkatkan pelabur baharu industri berkenaan selain menarik penyertaan generasi muda dalam sektor lumayan berkenaan.

Katanya, nanas mempunyai potensi sangat besar kerana ia mampu menghasilkan pelbagai produk terutama makanan, produk hiliran, fabrik nanas, pakaian malah farmaseutikal dan kosmetik.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melihat industri nanas ini dari sudut penanaman, pemprosesan hingga ke produk hiliran dan pasaran eksport.

“Tiga peringkat ini mempunyai peranan yang sangat penting apatah lagi negara sedang berusaha untuk melipatgandakan hasil pengeluaran nanas dengan kawasan lebih luas.

“Pengusaha industri ini tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah konvensional sekiranya ingin meningkatkan hasil pengeluaran nanas.

“Itulah sebabnya kita perlu galakkan penganjuran seminar nanas antarabangsa bagi mengumpul pengusaha serta penyelidik bagi mencari inovasi dan teknologi baharu melipatgandakan penanaman nanas menggunakan kaedah yang moden,” katanya selepas merasmikan Seminar Industri Nanas Antarabangsa 2025, di sini, hari ini.

Seminar Industri Nanas Antarabangsa 2025 itu antara pengisian Karnival Jom Heboh (KJH) Sempena Hari Nanas Malaysia, yang julung-julung kali dianjurkan secara bersama.

Seminar anjuran Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) itu disertai kira-kira 400 peserta termasuk pemegang taruh industri nanas membabitkan penyelidik dan pengusaha ladang.

Kertas kerja seminar berkenaan dibentangkan 12 pakar tempatan dan antarabangsa dari Indonesia dan Filipina, menjadi medan perkongsian ilmu dan membincangkan penyelesaian cabaran pelbagai isu sektor nanas.

Dalam pada itu, Arthur berkata jumlah kerugian pekebun nanas akibat ketidaktentuan cuaca dan bencana alam di negara ini menunjukkan pengurangan daripada RM7 juta pada 2021 kepada RM1.02 juta, tahun lalu.

Beliau berkata, perkara itu, antara lain didorong oleh hasil kajian, pembangunan infrastruktur dan inovasi LPNM.

“Sebagai contoh pada 2021, nilai kerugian dicatatkan sebanyak RM7 juta, selepas itu menurun kepada RM2 juta pada 2022, RM1.8 juta pada 2023 dan RM1.02 juta tahun lalu,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top