Petugas padang menampal lubang yang muncul ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Eropah Kumpulan H antara Austria dan Cyprus. – Foto: AFP
PERLAWANAN kelayakan Piala Dunia antara Austria dan Cyprus di Arena Raiffeisen, Linz terhenti seketika selepas permukaan padang tiba-tiba mendap hingga membentuk lubang.
Insiden pelik itu berlaku pada minit ke-75 apabila pengadil, Jakob Kehlet menghentikan permainan selepas ternampak lubang bersaiz hampir sama dengan bola di kawasan kotak penalti Austria.
Penjaga gol tuan rumah, Alexander Schlager kemudian menarik keluar ketulan rumput besar dari lubang berkenaan sebelum petugas padang segera datang bersama baldi berisi pasir untuk menampal bahagian tersebut. Schlager turut membantu sehingga permainan bersambung selepas tujuh minit terhenti, dengan tambahan masa kecederaan 10 minit diberikan.
Menurut Schlager, kedalaman lubang itu dianggarkan antara 30 hingga 40 sentimeter.

Permainan terpaksa dihentikan seketika pada minit ke-75 kerana terdapat lubang pelik muncul ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 zon Eropah Kumpulan H antara Austria dan Cyprus.
Pengarah Urusan Persekutuan Bola Sepak Austria (ÖFB), Bernard Neuhold menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang tidak menyenangkan dan pelik.
“Tetapi keadaan kali ini berbeza berbanding tahun 2022, ketika terdapat kerosakan sebenar pada struktur bawah rumput yang perlu diperbaiki,” katanya kepada agensi berita APA.
Terdahulu pada Jun 2022, situasi sama pernah berlaku apabila lubang muncul di bulatan tengah sejurus tamat aksi Liga Negara-Negara menentang Denmark di Stadium Ernst Happel, Vienna.
Neuhold berkata, insiden kali ini berjaya ditangani segera dan pihaknya akan menjalankan siasatan bersama kelab LASK bagi mengenal pasti punca.
Beliau bagaimanapun enggan membuat spekulasi mengenai kualiti padang stadium berkenaan yang baru sahaja dibuka pada 2023.
“Paling penting tiada pemain yang cedera dan kerosakan berjaya diperbaiki,” katanya.
Kapten Austria yang juga pemain pertahanan Real Madrid, David Alaba mengakui terkejut dengan kejadian itu.
“Saya tidak pernah mengalami perkara sebegini, malah ketika zaman remaja sekalipun,” ujarnya.





