Perlawanan persahabatan eratkan hubungan IPD Sentul, wartawan jenayah

Perlawanan persahabatan eratkan hubungan IPD Sentul, wartawan jenayah


Pasukan bola sepak CiJA (jersi kuning) bergambar bersama pasukan IPD Sentul dalam perlawanan persahabatan di Padang Kiara Bay, Kuala Lumpur pada Khamis.

SEMANGAT berpasukan ditonjolkan pasukan bola sepak Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) ketika perlawanan persahabatan menentang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Padang Kiara Bay di sini pada Khamis.

Perlawanan bermula jam 8 malam itu menyaksikan IPD Sentul memenangi perlawanan dengan jaringan enam gol berbalas empat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan IPD Sentul dan CiJA telah berlangsung dengan penuh semangat kesukanan dan ukhuwah.

Menurutnya, perlawanan itu dianjurkan bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pihak polis dan rakan media, di samping memperkukuh kerjasama strategik dalam penyampaian berita jenayah secara beretika dan profesional.

Safeek Affendy (jersi kuning) menerima plak penghargaan daripada Ahmad Sukarno sebagai lambang ukhuwah antara pasukan dalam perlawanan persahabatan di Padang Kiara Bay, Kuala Lumpur pada Khamis.

Safeek Affendy (jersi kuning) menerima plak penghargaan daripada Ahmad Sukarno sebagai lambang ukhuwah antara pasukan dalam perlawanan persahabatan di Padang Kiara Bay, Kuala Lumpur pada Khamis.

“Ini sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim selain komunikasi dua hala yang lebih mesra antara kami (polis) dengan wartawan.

“Secara tidak langsung, aktiviti riadah sebegini menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan warga IPD Sentul khususnya,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Jasni Zolpa.

Sementara itu, Presiden CiJA, Safeek Affendy Razali berkata, aktiviti itu mengumpulkan lebih 20 petugas media daripada pelbagai agensi.

“Antaranya Sinar Harian, Berita Harian, Kosmo, Astro Awani, Bernama, Harian Metro, Utusan, New Straits Times dan The Star.

“Ini merupakan kali kedua persatuan mengumpulkan ahli untuk perlawanan bola sepak sejak penubuhan kira-kira dua tahun lepas sebagai salah satu aktiviti sihat di kalangan ahli kami,” katanya.

Tambahnya, perlawanan persahabatan ini lebih kepada aktiviti riadah selain merapatkan lagi ukhuwah antara ahli kelab dan juga PDRM.



Source link

OR

Scroll to Top