July 13, 2024

Perlawanan simulasi bantu Aaron-Wooi Yik

Perlawanan simulasi bantu Aaron-Wooi Yik



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perlawanan simulasi diadakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) antara usaha membantu beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mendapatkan aura sebenar untuk meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024, pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, hasil perbincangan mereka, perlawanan seperti itu amat penting bagi memastikan pasangan negara mengatur strategi ampuh untuk menampilkan prestasi cemerlang di temasya empat tahun sekali itu.

Jelasnya, bagi memastikan Aaron Chia-Wooi Yik berada dalam ‘mood’ emas itu, perlawanan simulasi bersama Nur Izzuddin- Goh Sze Fei diadakan agar wakil negara itu boleh mendapatkan gambaran awal suasana di Paris 2024 nanti.

“Ini sebenarnya masa saya berbincang dengan Aaron-Woi Yik untuk persediaan dimahukan mereka, berbincang mengenai latihan waktu malam, boleh buat sikit simulasi untuk dapatkan suasana kerana Olimpik Tokyo 2020 ketika itu tiada penonton.

“Jadi rasa lain (suasana di stadium) dan dari sini kita cuba buat benda ini supaya perasaan simulasi untuk Olimpik. Ini kerana kita tiada perlawanan sebulan sebelum Olimpik Paris bermula.

“Bagi saya, tak mustahil (menang emas) kalau tengok kepada standard kerana setiap beregu lebih kurang (kekuatan) dia.

“Selain itu, mereka perlu jaga keadaan semasa dalam gelanggang hingga Olimpik dan pastikan tiada kecederaan. Minda kena tenang dan jangan di dalam gelanggang, sebaliknya fokus dalam setiap perlawanan,” katanya.

Beregu nombor dua dunia itu akan membuat penampilan kedua Olimpik selepas membawa pulang gangsa dari temasya Tokyo 2020.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top