Perlombongan di Sabah: Jeffrey Kitingan nafikan terima suapan RM1.78 juta

Perlombongan di Sabah: Jeffrey Kitingan nafikan terima suapan RM1.78 juta


am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Gapari Kitingan menafikan dakwaan beliau menerima RM1.78 juta berkaitan skandal perlombongan yang dikatakan berlaku di Sabah.

Beliau menegaskan, tuduhan yang disiarkan di sebuah portal berita itu tidak berasas sama sekali dan adalah serangan bermotif politik yang bertujuan menggugat, memburukkan dan meruntuhkan kerajaan Sabah sedia ada.

Jeffrey berkata, beliau tidak pernah sama sekali menerima sebarang dana berkaitan permohonan perlombongan atau apa-apa skandal yang didakwa.

“Dakwaan ini adalah satu rekaan yang disengajakan oleh pelaku politik yang terdesak dan mahu mempengaruhi politik Sabah secara tidak wajar, satu taktik yang digunakan sejak 1960-an,” katanya dalam kenyataan.

Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata partinya menafikan sebarang pembabitan dalam aktiviti perlombongan dan menjelaskan, ia tidak pernah memohon sebarang lesen perlombongan.

Sebagai penyokong kepada Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA), parti itu menegaskan bahawa perlombongan tidak sejajar dengan prinsip pemuliharaan yang diperjuangkan.

Jeffrey berkata, beliau dan ahli partinya memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkenaan, termasuk menyediakan kenyataan terperinci.

“Inilah harga yang perlu dibayar dalam perjuangan menuntut hak Sabah,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan oleh pemberi maklumat sebelum ini sudah membersihkan nama STAR dan Parti Bersatu Sabah daripada sebarang salah laku atau penerimaan dana haram.

Berikutan dakwaan palsu dan berniat jahat itu, Jeffrey berkata, beliau berhak untuk mengambil semua tindakan undang-undang yang tersedia, termasuk tindakan terhadap portal berita berkenaan atas laporan yang tidak bertanggungjawab dan mencemarkan nama baik.

“Kami menjangkakan lebih banyak dakwaan palsu serta fitnah akan dikeluarkan, dan pihak berkepentingan politik yang lain.

“Ia tidak mengejutkan jika ada pihak dan parti tertentu akan mengambil kesempatan, dengan harapan berita palsu ini akan mengubah dinamik dan landskap politik di Sabah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top