Perlu pekeliling untuk penajaan kerajaan Perak bagi LTdL

Perlu pekeliling untuk penajaan kerajaan Perak bagi LTdL



am@hmetro.com.my

Ipoh: Sumbangan dana serta penajaan dari kerajaan negeri Perak bagi membantu penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun-tahun mendatang perlu melihat kepada impak keadaan penganjuran itu yang dapat memberi kesan kepada pembangunan negeri khususnya segi pelancongan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah, berkata pada penganjuran tahun ini, LTdL merangkumi jarak keseluruhan 1,190 kilometer (km) membabitkan hanya satu peringkat persinggahan di Perak iaitu di Taiping daripada keseluruhan lapan peringkat.

Katanya, selain perlu dibincangkan kelak dalam mesyuarat exco kerajaan negeri (MMK), hal tajaan dari kerajaan negeri juga memerlukan pekeliling berkaitan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi penganjuran LTdL.

“Benda itu kita akan bincang dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, sebab di Perak pun kita hanya ada satu peringkat sahaja (peringkat persinggahan LTdL) pada tahun ini iaitu di Taiping sahaja.

“Dan kita kena lihat dari segi impak serta keadaan penganjuran itu memberi kesan kepada pembangunan dan juga aktiviti (pelancongan) di Perak ini.

“Setakat ini kita belum berbincang secara rasmi dan Insya-Allah kalau ia mendapat arahan atau pekeliling berkaitan dengan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri berkaitan ini, maka kita akan berbincang dalam mesyuarat MMK nanti,” katanya.

Khairudin berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri majlis perasmian Sambutan Hari Sukan Negara peringkat Perak 2024 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Khairudin berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh batu-baru ini yang menggesa agar kerajaan beberapa negeri lebih serius dalam penganjuran perlumbaan basikal LTdL bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada masa mendatang.

Hannah dilapor berkata kebanyakan negeri sedar dengan pulangan hasil penganjuran LTdL yang menjurus kepada tarikan pelancong dan ekonomi setempat, namun tidak sanggup menanggung kos penganjuran untuk menjadi penaja atau tidak sanggup membantu dengan mengeluarkan dana.

Turut dilapor, sebanyak RM8.1 juta diterima daripada penaja untuk penganjuran LTdL tahun ini seperti Petronas, Tourism Malaysia, Bubbles O2, Bintulu Port dan Motoshoot manakala KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) membelanjakan sekitar RM12 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top