rnoraina@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Polis menjalankan siasatan berhubung penganjuran perlumbaan basikal lajak yang dijadualkan diadakan di Damansara Damai di sini, esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya terkesan video yang mempromosikan perlumbaan berkenaan di laman sosial TikTok, semalam.
“Siasatan mendapati video berdurasi 29 saat itu memaparkan aksi sekumpulan remaja menunggang basikal lajak di jalan raya berserta maklumat berkaitan penganjuran perlumbaan tersebut yang akan diadakan di Damansara Damai pada 24 Mei.
“Berikutan itu laporan polis dibuat dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mengadakan pertandingan membabitkan kenderaan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulnizam berkata, polis mengesan pihak penganjur perlumbaan itu untuk siasatan lanjut.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penganjuran itu supaya menyalurkannya melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi undang-undang bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan selain tidak berkompromi dengan individu yang didapati melanggar undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd