April 23, 2024

Permintaan Pan Gon sebelum lawan Oman hadir pada masa kurang tepat


KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menepis dakwaan bahawa badan induk itu tidak membantu persediaan skuad Harimau Malaya dalam menghadapi dua aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bertemu Oman, bulan lepas.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan fasa persediaan kurang ideal yang dilalui skuad bimbingan Kim Pan Gon ketika itu adalah disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Hamidin berkata, isu yang dihadapi ketika itu adalah para pemain tidak dapat dikumpulkan di luar kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Justeru, hal itu mempengaruhi perancangan asal untuk menghantar skuad kebangsaan menjalani kem latihan pusat dan bermain dua perlawanan persahabatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kim Pan Gon minta untuk pergi ke UAE atau mana-mana untuk bermain dua aksi persahabatan dengan kelab (di UAE), kita cari, tetapi ketika kita tengah berunding (ada) beberapa kelab (tempatan) tak nak bagi (lepaskan pemain), tak kan lima orang nak pergi…kita memang nak pergi awal (ke UAE).

“Saya juga cakap dengan Kim Pan Gon kalau boleh tak nak lawan dengan kelab, nak lawan dengan negara tetapi masa itu di luar kalendar perlawanan antarabangsa FIFA…(dan) disebabkan itu kita pergi awal ke Oman,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-60 di Subang Jaya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan dua kekalahan kepada Oman adalah disebabkan segala permintaan Pan Gon tidak ditunaikan seperti dinyatakan dalam ‘surat layang’ yang memburukkan kepimpinan dan pengurusan FAM, baru-baru ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai permintaan Pan Gon supaya saingan Liga Malaysia 2024/2025 diawalkan berbanding bermula pada Mei, Hamidin berkata harapan itu tidak dapat ditunaikan kerana tindakan berkenaan mampu merencatkan segala persediaan yang telah dilakukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Berdasarkan Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FIFA; Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 antaranya menyatakan bahawa adalah tidak wajib untuk melepaskan pemain di luar kalendar perlawanan antarabangsa.

Menjelang pertemuan dengan Oman bulan lepas, sebahagian daripada keseluruhan 33 pemain negara melapor diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya yang bermula 8 Mac lewat kira-kira seminggu disebabkan komitmen bersama kelab masing-masing.

Anak buah Pan Gon yang dibelenggu isu kekurangan ‘match fitness’ gagal menyaingi kehebatan Oman yang menyaksikan Malaysia mengalami dua kekalahan 0-2 berturut-turut di Muscat pada 21 Mac diikuti di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 26 Mac.

Dua kekalahan itu menyaksikan Malaysia jatuh ke kedudukan ketiga dalam saingan Kumpulan D, ketinggalan tiga mata di belakang Kyrgyzstan dan Oman yang mengumpul sembilan mata di posisi dua teratas sementara Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Situasi itu membuatkan Malaysia berdepan misi wajib menang dalam baki dua perlawanan menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada Jun depan dalam usaha layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat lebih awal ke Piala Asia 2027 selaku dua pasukan teratas kumpulan. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top