ajohari@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi yang mendengar kes saman Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung komen isu kronisme, menolak permohonan supaya beliau menarik diri.
Permohonan itu dikemukakan oleh Dr Dzulkefly dengan alasan, kenyataan yang dibuat Arziah Mohamed Apandi ketika pengurusan kes pada 7 Mac 2025 dan 7 April 2025 ketika prosiding membatalkan kes itu menunjukkan bahaya atau mewujudkan persepsi berat sebelah.
Dalam permohonan itu, Dr Dzulkefly mengemukakan alasan hubungan kekeluargaan, iaitu Arziah adalah anak kepada bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang dilantik Najib pada tahun 2016, menimbulkan berat sebelah atau kebimbangan munasabah terhadap kewujudan berat sebelah.
Dalam keputusannya, Arziah berkata, mahkamah mendapati Dr Dzulkefly selaku plaintif gagal membuktikan kewujudan bahaya sebenar berat sebelah yang timbul daripada kenyataannya itu.
Katanya, fakta bahawa beliau adalah anak kepada Mohamed Apandi yang dilantik oleh Najib, walaupun diakui, tidak mewujudkan bahaya sebenar berat sebelah.
“Hubungan itu adalah antara bapa saya dan defendan (Najib), bukannya antara saya dan mana-mana pihak. Tiada bukti wujudnya sebarang hubungan yang berterusan antara bapa saya dan defendan selain daripada satu penampilan ringkas di mahkamah sebagai saksi pada tahun 2019.
“Bapa saya tidak lagi memegang jawatan Peguam Negara sejak tahun 2018, iaitu tujuh tahun yang lalu. Sebarang kaitan dengan litigasi ini adalah lemah dan bersifat sejarah.
“Tiada bukti yang menunjukkan wujudnya berat sebelah sebenar atau keadaan yang boleh menyebabkan seorang individu munasabah membuat kesimpulan bahawa terdapat berat sebelah,” katanya.
Dr Dzulkefly memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa, Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020, mengenai isu kronisme berserta satu lampiran paparan artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar wajah plaintif (ketika itu bekas menteri).
Dakwanya, kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikatkerajaan atau swasta.
Plaintif mendakwa, Najib menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.
Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang Najib selaku defendan atau ejennya meneruskan penerbitan atau menyebarkan hantaran itu dalam sebarang cara.
Plaintif turut memohon perintah supaya defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Bagaimanapun, Najib dalam pernyataan pembelaannya mendakwa hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan Menteri Kesihatan itu.
Najib mendakwa terbitan itu merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH), oleh itu tiada sebarang fitnah telah dibuat terhadap plaintif (Dzulkefly).
© New Straits Times Press (M) Bhd