Mahkamah Tinggi Syariah Selangor menolak permohonan yang difailkan pelakon Fattah Amin terhadap bekas isterinya, Nur Fazura berhubung dakwaan pelanggaran perintah hak lawatan anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya.
Memetik Utusan Online, peguam mewakili Fazura iaitu Fakhrul Azmam berkata mahkamah mendapati tiada asas kukuh untuk memulakan tindakan komital atau tunjuk sebab terhadap anak guamnya.
BACA: Amira Othman Teruja Sambut Raya Pertama Dengan Keluarga Fattah Amin
“Dalam erti kata lain, permohonan tersebut ditolak kerana tiada sebab untuk mengenakan tindakan tunjuk sebab terhadap Fazura. Pada hemat mahkamah, urusan hak lawatan berjalan dengan baik dan lancar,” katanya.
Sementara itu, Fakhrul turut menjelaskan sebelum mengambil sebarang tindakan perlu melalui peringkat kebenaran mahkamah terlebih dahulu.
“Sebelum sebarang tindakan diambil, kebenaran mahkamah perlu diperoleh terlebih dahulu. Bagaimanapun, dalam kes ini, peringkat mendapatkan kebenaran itu sendiri tidak diluluskan,” katanya.
Difahamkan, Fattah dilapor memfailkan permohonan tersebut pada awal Februari lalu selepas mendakwa berlaku gangguan terhadap hak lawatannya.
Dalam pada itu, Fakhrul timbul isu kecil berhubung pertemuan antara Fatima dan bapanya yang bukan disengajakan.
“Mungkin ada dua atau tiga kali Fatima sendiri tidak mahu pergi kerana penat atau lewat akibat kelas mengaji. Namun, tahun ini Fatima berpeluang beraya bersama bapanya,” katanya.
Semalam tular di media sosial jadual prosiding Mahkamah Tinggi Syariah Selangor memaparkan nama Fattah Amin sebagai plaintif dan Nur Fazura sebagai pihak responden.
Sumber: Utusan Online






