Permohonan ikat jamin 6 termasuk penyanyi wanita ditolak

Permohonan ikat jamin 6 termasuk penyanyi wanita ditolak


Narathiwat: Mahkamah Narathiwat menolak permohonan ikat jamin bagi kesemua enam warga Malaysia, termasuk seorang penyanyi dikir barat dari Kelantan yang ditahan reman semalam kerana disyaki memiliki dadah.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Bahagian Siasatan Balai Polis Sungai Golok, Mej. Pol. Hafit Mad-asin kepada wartawan pada Selasa.

“Bagi siasatan membabitkan warga asing yang membabitkan jumlah dadah yang besar, mahkamah tidak akan membenarkan suspek diikat jamin kerana dikhuatiri mereka akan melarikan diri,” katanya.

Kesemua dadah yang ditemukan di bilik hotel telah dihantar ke makmal Pusat Forensik di Yala untuk ujian DNA bagi mengenal pasti jenis dadah serta pemiliknya, sebelum diserahkan kepada kepada pendakwa raya untuk menentukan tarikh pendakwaan di mahkamah, katanya.

Menurut Hafit, semua suspek akan ditahan di Penjara Narathiwat selama 84 hari atau kira-kira tiga bulan sementara menunggu tarikh pendakwaan.

Pada Jumaat lalu, enam suspek warga Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun telah ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Narkotik Balai Polis Sungai Golok di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok sekitar pukul 5 pagi, atas kesalahan memiliki dadah.

Hasil siasatan polis mendapati suspek disyaki memiliki 6,000 biji pil jenis “pil kuda” dan turut melakukan kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top