Permohonan PM rujuk isu Perlembagaan bukan beri kekebalan mutlak – AGC

Permohonan PM rujuk isu Perlembagaan bukan beri kekebalan mutlak – AGC


Kuala Lumpur: Permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk beberapa persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan tidak bertujuan memberikan kekebalan mutlak kepada mana-mana individu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan permohonan itu dibuat mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, membabitkan isu baharu dan belum pernah diputuskan, khususnya berkaitan litigasi sivil serta keupayaan seorang perdana menteri menjalankan fungsi eksekutifnya secara berkesan.

AGC memaklumkan antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada tindakan sivil berhubung perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan sekiranya ia menjejaskan keupayaan perdana menteri untuk mentadbir.

“Soalan lain termasuk sama ada Perlembagaan secara implikasi memerlukan semakan ambang kehakiman dalam kes seperti itu, serta kesan peruntukan dalam Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan dalam melindungi prinsip pengasingan kuasa dan kestabilan institusi negara,” menurut AGC dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut AGC, lapan persoalan yang dirujuk itu bersifat struktur, menyentuh aspek tadbir urus perlembagaan dan bukan berkaitan kekebalan peribadi.

“Proses rujukan perlembagaan diwujudkan bagi membolehkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan muktamad terhadap isu-isu seperti ini,” menurut AGC.

AGC turut menegaskan sebarang keputusan berkaitan tafsiran peruntukan perlembagaan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.

Jabatan itu turut menjelaskan bahawa pihaknya akan menilai sebarang permintaan campur tangan berdasarkan merit undang-undang dan kepentingan awam, bukan berasaskan sentimen politik.

Terdahulu, pada Selasa lalu, Perdana Menteri memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidiknya Muhammad Yusoff Rawther, empat tahun lalu.

Anwar turut memohon mahkamah mempertimbangkan sama ada saman itu menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas sebagai ketua eksekutif negara, selain melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin Perlembagaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top