am@hmetro.com.my
Bayan Lepas: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipertanggungjawabkan untuk mengurus isu ‘penolakan’ permohonan pengiktirafan status Bumiputera masyarakat India Muslim.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan permohonan sama ada diluluskan atau tidak, perlu melalui proses perlembagaan biasa mengikut lunas undang-undang sedia ada.
Katanya, tiada juga tempoh masa tepat untuk memuktamadkan perkara itu kerana permohonan diproses secara individu.
“Perkara itu (permohonan status Bumiputera) mengikut proses perlembagaan yang biasa. Sama ada seseorang itu layak atau tidak, mereka perlu mematuhi proses biasa.
“Ia permohonan individu, (jadi) bukan berkaitan kerangka masa. Ini bergantung kepada permohonan individu, bukan secara berkumpulan atau pertubuhan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-70 Liga Muslim Pulau Pinang di sini, hari ini.
Anwar berkata, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan melihat perkara yang dibangkitkan tersebut.
Terdahulu pada majlis itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kelulusan peruntukan RM250,000 kepada Liga Muslim Pulau Pinang bagi membantu memperkasakan program latihan keusahawanan serta inisiatif pembangunan generasi muda komuniti itu terutama dalam aspek digital.
Beliau berharap semua peluang yang disediakan kerajaan dalam bidang berkenaan direbut dan dimanfaatkan sepenuhnya agar tidak melebarkan jurang antara golongan elit kaya dengan masyarakat umum.
Turut hadir pada majlis itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Seri Haja Najmudeen Abd Kader.
Haja Najmudeen mengutarakan masalah permohonan status Bumiputera yang didakwa tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Katanya, penolakan permohonan memberi kesan kepada kehidupan mereka terutama dalam aspek pendidikan dan ekonomi.
© New Straits Times Press (M) Bhd