Permulaan sempurna hoki wanita Negeri Sembilan

Permulaan sempurna hoki wanita Negeri Sembilan


SEREMBAN: Kejayaan pasukan hoki wanita Negeri Sembilan menumpaskan Malaysia University-UNITEN (Malaysia University) dalam perlawanan sulung Liga Hoki Malaysia TNB 2026 menjadi pemulaan yang baik bagi pasukan itu mengharungi musim 2026.

Timbalan Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Datuk Masri Razali berkata, kemenangan itu membolehkan pasukan tersebut merangkul Piala Sumbangsih iaitu satu daripada tiga piala yang ditawarkan kepada pemenang dalam kejohanan berkenaan.

Katanya, dua lagi piala iaitu Piala Liga dan Piala Vivian May Soars kini terbuka untuk direbut oleh pasukan itu tahun ini.

“Para pemain telah menunjukkan prestasi yang baik dalam perlawanan semalam dan hasilnya kita menang dengan jaringan 4-0.

“PHNS mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan dan berharap prestasi baik ini dapat dikekalkan sehingga ke akhir perlawanan kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Penyerahan Tajaan Bubbles O2 kepada Negeri Sembilan FC di sini hari ini.

Dalam perlawanan semalam, gol Negeri Sembilan telah dijaringkan oleh Fatin Shafika Mohd. Shukri pada minit keenam dan 56, Nur Afiqah Syahzani Azhar (m-50) dan Siti Nur Arfah Mohd. Nor (m-60).

Selain daripada Fatin Syafika, Nur Afiqah dan Siti Nur Arfah yang merupakan pemain kebangsaan, pasukan itu turut diperkuatkan dengan tiga lagi pemain negara iaitu Noor Hasliza Md. Ali, Siti Nur Atika Shaikh Maznan dan Nuramirah Shakirah Zulkifli dan Siti Nur Arfah Mohd Nor.

Skuad itu semakin kukuh dengan kehadiran dua pemain reputasi tinggi dari India, Vandana Katariya yang pernah beraksi di Piala Dunia dan Olimpik serta pemain muda berpengalaman, Jyoti Chhatri yang pernah beraksi di peringkat Asia dan Sukan Komanwel.

Pasukan Negeri Sembilan pernah mencatatkan pencapaian cemerlan apabila merangkul ketiga-tiga piala pada musim 2023.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top