sukan@hmetro.com.my
Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Mohd Nidzam Jamil menyifatkan kemenangan bergaya ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, 5-0, dalam pusingan pertama saingan 16 pasukan Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi, sebagai permulaan yang positif buat pasukan itu.
Pengendali berusia 49 tahun itu ternyata gembira dengan kemenangan besar dicatatkan, bagaimanapun mengakui masih banyak ruang untuknya dan pemain memperbaiki prestasi skuad Hobin Jang Hobin berikutan cabaran dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini masih panjang.
“Walaupun kita menang selesa malam ini (malam tadi), tapi perjalanan kita dalam liga masih panjang. Ini sebagai permulaan yang baik namun kita perlu terus berusaha untuk mencapai tahap yang lebih baik lagi.
“Malah, ini baharu minggu kesembilan sejak memulakan persiapan pra musim dan saya percaya kita ada proses yang panjang untuk meletakkan pasukan ini pada tahap yang lebih baik. Kita perlukan masa,” kata Mohd Nidzam pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Nidzam yang pernah membimbing Selangor FC sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya mahukan sokongan semua pihak terutama penyokong bagi memastikan prestasi pasukan itu konsisten dalam setiap perlawanan akan datang.
“Saya gembira dengan kemenangan ini dan kredit perlu diberikan kepada pemain, tapi sebenarnya saya belum benar-benar puas hati dengan persembahan dipamerkan pasukan setakat ini.
“Apa yang berlaku di padang dan dengan keputusan diraih adalah perkara yang berbeza.
“Pada saya, Negeri Sembilan perlu beraksi lebih baik lagi pada perlawanan yang akan datang,” katanya, yang mengakui pasukan itu masih ada kelemahan dan perlu memperbaikinya segera menjelang pertembungan dengan Selangor dalam Liga Super di gelanggang sama, Ahad nanti.
Pada aksi malam tadi, Jovan Motika dan Joseph Esso masing-masing meledak dua gol, iaitu masing-masing pada minit pertama dan ke-40 diikuti minit ke-42 dan ke-78 manakala Mio Tsuneyasu, yang tampil sebagai pemain gantian melengkapkan kemenangan bergaya Negeri Sembilan menerusi jaringan pada minit ke-75.
© New Straits Times Press (M) Bhd






