Pelakon, Ezzanie Jasny menarik nafas lega apabila gangguan daripada akaun media sosial palsu yang menyamar sebagai dirinya akhirnya berhenti selepas dia mengambil tindakan dengan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ezzanie atau nama lengkapnya, Nur Ezzanie Sherazade Jasny, berkata langkah tersebut diambil selepas dia berdepan pelbagai ugutan yang diterima susulan kewujudan akaun palsu yang menyebarkan kenyataan sensitif berkaitan agama.
“Sebenarnya saya juga telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan saya percaya mereka sudah mengambil tindakan kerana selepas itu saya tidak lagi menerima gangguan daripada akaun-akaun palsu tersebut,” katanya.
Menurut aktres berusia 26 tahun itu, keadaannya kini jauh lebih tenang selepas gangguan tersebut berjaya dihentikan.
“Alhamdulillah, keadaan ini amat melegakan saya. Sekarang hidup saya kembali tenang kerana tidak lagi menerima gangguan, ancaman dan buli siber di media sosial.
“Hentikanlah kegiatan yang tidak bermoral ini, perkara itu adalah satu jenayah. Buli siber ini tidak seharusnya dibiarkan” katanya.

Terdahulu, Ezzanie mendedahkan dia menerima pelbagai ancaman selepas muncul akaun media sosial yang menyamar sebagai dirinya dan mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama selain mendakwa kononnya dia sudah murtad.
Situasi itu kemudian menjadi semakin tegang apabila beberapa akaun lain mula menyerangnya di media sosial sebelum melayangkan pelbagai ugutan termasuk ancaman untuk membunuh ahli keluarganya.
“Agak teruk juga ugutan yang saya terima. Mereka sampai mengancam keluarga, pembantu peribadi dan kawan-kawan saya.
“Si penyamar juga mengugut mahu menyihir saya. Sesiapa pun pasti akan hidup dalam ketakutan apabila menerima ancaman seperti itu,” katanya.
Ezzanie mengakui sebagai manusia biasa, dia turut berdepan tekanan emosi apabila berulang kali menerima ancaman daripada pihak tidak bertanggungjawab.
“Fikiran saya berkecamuk apabila ditakut-takutkan dengan ancaman begitu. Tapi Alhamdulillah Allah beri kekuatan untuk saya kawal fikiran,” katanya.
Ezzanie turut mendedahkan semua ugutan tersebut berlaku tidak lama sebelum dia terlibat dalam kemalangan pada 10 Januari lalu, sekali gus menambah tekanan yang dialaminya ketika itu.
“Alhamdulillah Allah pelihara saya dan orang yang saya sayangi,” katanya.
Artikel Berkaitan: Alami Pendarahan Tengkorak & Muka Bengkak, Ezzanie Jasny Tangguh Percutian Ke London






