PETALING JAYA: Pelakon, Syafie Naswip, 32, mengakui pernah berdepan situasi menunggu bayaran lakonan sehingga dua tahun daripada sebuah produksi drama.
Mengambil langkah berhati-hati, Syafie atau Muhammad Syafie Naswip, akan meneliti setiap butiran di dalam kontrak sebelum bersetuju untuk terlibat dalam mana-mana projek lakonan.
“Paling lama kena sidai sehingga 2 tahun. Sampailah saya ugut buat laporan polis barulah mereka bayar. Tapi perkara itu sudah lama terjadi, saya masih muda ketika itu sebelum Songlap terbit (2011).
“Sekarang saya sudah dewasa, tiada lagi yang mahu mengambil kesempatan terhadap saya.
“Kalau saya kata perlu bayar sekian jumlah sebelum penggambaran, mereka perlu bayar. Sama juga kalau bayar selepas penggambaran tamat, paling lambat seminggu.
“Apabila kita sudah terkena situasi begitu, kita akan belajar. Jadi sebelum penggambaran bermula, saya akan teliti kontrak dari awal sampai akhir,” katanya.
Syafie mengulas mengenai situasi pelakon dan kru yang tidak menerima bayaran ketika pertama kali bekerja dengan produksi baharu.
Tambah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 itu lagi, dia tidak berdendam dengan produksi tersebut namun akan menuntut haknya sehingga dapat.
“Kami tidak gaduh pun, kalau jumpa kami tegur sahaja.
“Cuma saya akan tuntut sampai dapat seperti apa yang dipersetujui dalam kontrak. Jika mereka tidak boleh bayar, kena beritahu awal-awal.
“Jangan ‘sidai’ saya begitu,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem Mantera di Starling Mall, hari ini.
Mengulas penglibatannya kali pertama bekerja di sebuah produksi baharu, Pro Merge Vision Sdn. Bhd, Syafie berkata dia tersentuh melihat kesungguhan pengarah, Chester Pang mengetengahkan budaya Sabah di dalam filem.
“Chester tahu tentang kepengarahan, prop di lokasi kerana sebelum ini dia memiliki pengalaman menjadi penerbit. Dia tahu apa yang diinginkan termasuk ‘shoot’. Saya nampak kesungguhannya.
“Bagi saya, bayaran adalah nombor dua. Selain itu, apa yang penting ialah produksi fikirkan tentang kebajikan pelakon seperti tempat tinggal, makan, duit minyak dan sebagainya.
“Ada yang beri jumlah tertentu, tapi lenjan pelakon sampai dua, tiga hari. Ada juga tidak boleh sediakan tempat tinggal.
“Produksi ini beri saya tidur yang secukupnya, apalagi yang saya mahu rungutkan?,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, filem Mantera yang mengisahkan tentang amalan bomoh Bobolian di Sabah akan mula menemui penonton 24 April ini.
Turut sama menjayakan naskhah tersebut ialah Nam Ron, Jovenia Jim dan Larry Noh – UTUSAN