Pelakon, pengacara dan juga bekas Naib Juara Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar kini tampil membuat kemunculan semula dalam industri hiburan tanah air selepas berehat panjang.
Kata Adriana ketika ditemui XTRA, ‘kehilangannya’ itu bukanlah disengajakan sebaliknya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya.
Jelasnya, sepanjang tempoh ‘berehat’ dia juga tampil memperlihatkan sisi kreatifnya melalui penerbitan buku puisi berjudul “Everything in Between” yang menerima sambutan positif dalam kalangan pembaca dan kini telahpun habis terjual.
“Saya merupakan graduan lulusan undang-undang (ijazah sarjana muda) dari Universiti Malaya selepas itu saya sambung chambering pula sebagai peguam. Jadi saya sebenarnya peguam bertauliah. Cuma buat masa sekarang ini, saya nak fokus pada industri, lebih kepada bidang lakonan dan pengacaraan,” katanya.

Adriana berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar bersamanya yang diadakan di hotel JW Marriott, Kuala Lumpur pada Rabu.
Ketika disoal mengenai keputusannya untuk kembali bergiat aktif dalam industri selepas bergelar peguam, Adriana mengakui pada mulanya dia berasa sedikit gementar namun dengan sokongan yang diberikan daripada keluarga dia mengaggap tidak wujud isu ‘validation’ daripada mana-mana pihak terhadap keputusannya itu.
“Mula-mula mestilah ada rasa sedikit gentar sebab kita tahu bidang seni ini bukan semua orang ada pengetahuan tentang perjalanannya.
“Pada mulanya mereka (keluarga) ada rasa sedikit gentar bila saya memilih kerjaya ini, tapi mereka juga memberi sokongan. Alhamdulillah setakat ini dengan sokongan keluarga, saya akan teruskan apa yang saya nak buat dalam industri, Insya-Allah.
“Bagi saya tak ada istilah sia-sia. Ijazah itu masih saya genggam. Jadi saya tak perlukan validation daripada orang pasal “sia-sia” dan sebagainya sebab bagi saya, saya boleh saja teruskan bidang guaman bila-bila masa saya nak,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, sejak kembali aktif dalam industri hiburan pada tahun 2026, Adriana telah membintangi dua telefilem dan sebuah drama televisyen. Malah, dia juga kembali aktif sebagai model bagi pereka fesyen tempatan serta terlibat dalam pelbagai kempen iklan jenama utama di
Malaysia.
Selain kerjaya seni, Adriana turut aktif dalam usaha advokasi wanita melalui kerjasama bersama organisasi seperti Women of Will, mencerminkan komitmennya terhadap isu pemerkasaan wanita.
Kemunculan semula Adriana bukan sekadar kepulangan seorang selebriti, tetapi juga simbol perjalanan seorang wanita yang melalui pelbagai pengalaman sebelum kembali ke dunia seni dengan perspektif dan kematangan baharu.






