Pernah Terima Bantuan Zakat, Kini Bayar RM2 Juta Tunai Zakat Perniagaan… Aliff Syukri Luah Rasa Syukur

Pernah Terima Bantuan Zakat, Kini Bayar RM2 Juta Tunai Zakat Perniagaan… Aliff Syukri Luah Rasa Syukur


Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, sekali lagi mencatat pencapaian tersendiri apabila muncul sebagai pembayar zakat perniagaan tertinggi kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun ini menerusi syarikat miliknya, D’Herbs Holdings Sdn Bhd, dengan jumlah keseluruhan RM2 juta.

Hadir bersama isteri, Datin Seri Nur Shahida, serta anak sulung mereka, Ammar Ahyan, bagi menyempurnakan penyerahan replika cek kepada pihak LZS, penyerahan zakat tersebut dilakukan dalam Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) 2025 yang berlangsung di Shah Alam, sebentar tadi.

Ketika ditemui media, Aliff menyatakan rasa syukur dan tidak menyangka syarikatnya sekali lagi tersenarai sebagai penyumbang tertinggi zakat perniagaan di Selangor.

Katanya, pengiktirafan itu bukan sesuatu yang dirancang, sebaliknya lahir daripada tanggungjawab dan kepercayaan terhadap amanah rezeki.

“Saya sendiri tidak mengetahui jumlah keseluruhan zakat yang dikeluarkan kerana urusan akaun diuruskan oleh isteri. Apabila dimaklumkan jumlahnya mencecah RM2 juta, saya benar-benar terkejut dan bersyukur. Ini bukan soal berbangga diri, tetapi tanda terima kasih atas rezeki yang Allah kurniakan,” katanya.

Aliff turut berkongsi kisah peribadi apabila pernah menjadi penerima zakat pada satu ketika dahulu.

Pengalaman itu, katanya, memberi makna besar terhadap komitmennya untuk terus menunaikan zakat sejak usia muda.

“Saya mula membayar zakat ketika berumur 19 tahun. Pada waktu itu gaji hanya RM650 dan zakat yang mampu dibayar hanyalah RM7 sebulan.

“Nilainya kecil, tetapi bagi mereka yang memerlukan, ia sangat bermakna. Alhamdulillah, jumlah itu meningkat setiap tahun sehingga hari ini,” jelasnya.

Menurut Aliff, latar belakang hidup yang sederhana tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kejayaan. Dia menegaskan bahawa golongan kurang bernasib baik wajar diberikan sokongan dan peluang kerana setiap individu berpotensi untuk mengubah kehidupan masing-masing.

“Saya juga pernah menerima bantuan zakat untuk pelajaran, kelengkapan sekolah dan makanan. Jangan memandang rendah orang susah. Sama ada berasal dari kampung, tinggal di PPR atau penerima bantuan, semua orang ada peluang untuk berjaya jika diberi ruang,” katanya.

Sementara itu, Shahida memaklumkan tahun 2025 mencatat rekod tertinggi bagi syarikat mereka dari segi pembayaran zakat perniagaan. Menurutnya, kejayaan itu hasil sokongan berterusan pelanggan terhadap pelbagai produk yang diusahakan.

@xtra_my Datuk Seri Aliff Syukri & Datin Seri Nur Shahida menerusi D’Herbs Holdings Sdn Bhd mendahului senarai syarikat dengan bayaran zakat perniagaan tertinggi sebanyak RM2 juta kepada Lembaga Zakat Selangor menerusi Majlis Iktiraf Muzakki & Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) 2025. Alhamdulillah 🤲🏻❤️ #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA

“Tahun ini jumlah zakat paling tinggi setakat ini. Ia hasil usaha bersama dan sokongan pelanggan terhadap produk kami, daripada makanan hingga barangan keperluan. Semua yang menyokong perniagaan kami sebenarnya turut menyumbang kepada zakat ini,” katanya.

Dalam majlis yang sama, sebanyak 56 syarikat tampil menunaikan kewajipan berzakat dengan jumlah keseluruhan RM22.15 juta. Antara syarikat lain yang tersenarai sebagai pembayar zakat perniagaan utama termasuk Open University Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Wawa Global Sdn Bhd.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan bantuan zakat berjumlah RM346,238 kepada golongan asnaf melibatkan bantuan perumahan, perniagaan dan perubatan. Selain itu, Wakalah Majikan Kerajaan turut disampaikan kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan LZS dalam memperkukuh kebajikan masyarakat.





Source link

OR

Scroll to Top