Perodua lancar EV pertama QV-E, harga RM80,000

Perodua lancar EV pertama QV-E, harga RM80,000

Perodua lancar EV pertama QV-E, harga RM80,000


lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perodua melancarkan QV-E, kenderaan elektrik (EV) pertamanya, sekali gus menandakan kemasukan rasmi pengeluar nasional itu ke segmen EV mampu milik dalam negara.

Model berkenaan ditawarkan pada harga RM80,000 yang tidak meliputi kos insurans dan bateri.

Ini kerana Perodua memperkenalkan konsep pajakan bateri ‘Battery as a Service’, yang mana bateri ditawarkan berasingan daripada kenderaan.

Pelanggan perlu membayar RM275 sebulan bagi tempoh pembiayaan sembilan tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, model EV pertama ini dibangunkan melalui pelaburan RM800 juta merangkumi kejuruteraan, R&D serta integrasi teknologi keselamatan baharu yang dipasang di Smart Mobility Plant Perodua.

“Ketika ini kami mampu menghasilkan 500 unit sebulan dan kapasiti itu akan meningkat kepada 3,000 unit menjelang suku ketiga 2026,” katanya pada majlis pelancaran hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, model ini dibangunkan dengan 60 peratus kandungan tempatan, merangkumi panel badan, harness dan komponen elektronik utama.

Malah katanya, Perodua menjalin kerjasama secara agresif dengan vendor tempatan untuk membekalkan 50 peratus komponen menjelang awal tahun 2026 dan meningkatkannya kepada 70 peratus menjelang 2030.

Setakat ini, 52 syarikat tempatan menjadi pembekal komponen untuk QV-E, dan angka itu dirancang berkembang kepada 70 vendor dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem EV serantau.

Dibina untuk kegunaan harian bandar dan perjalanan sederhana, QV-E dipacu bateri LFP 52.5kW yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 445 km (NEDC), bergantung kepada cara pemanduan dan keadaan sekeliling.

Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi sistem Child Presence Detection yang mampu mengesan pergerakan dan tanda vital seperti bunyi pernafasan di tempat duduk belakang walaupun terhalang fabrik atau selimut bagi mengurangkan risiko insiden tertinggal kanak-kanak atau haiwan peliharaan dalam kenderaan.

Sasaran pembeli QV-E ialah golongan pertengahan serta mereka yang mencari kereta kedua atau kenderaan gantian untuk kegunaan harian dan aktiviti santai hujung minggu.

QV-E hadir dalam dua warna Ice Blue dan Caviar Grey dan boleh didapati di cawangan Perodua terpilih sahaja.

Pelancaran model ini turut menyokong fokus Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) untuk mengangkat industri automotif tempatan melalui teknologi hijau, automasi dan peningkatan kandungan komponen tempatan, sekali gus mempercepat agenda mobiliti rendah karbon negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top