Paris, Perancis: Perompak yang mencuri permata mahkota bernilai tidak ternilai dari Muzium Louvre pada Oktober lalu sebenarnya melarikan diri dengan hanya 30 saat berbaki, kesan daripada kegagalan keselamatan yang boleh dielakkan di muzium berkenaan, menurut siasatan yang didedahkan pada Rabu.
Siasatan yang diarahkan Kementerian Kebudayaan susulan rompakan memalukan pada waktu siang itu mendapati hanya satu daripada dua kamera keselamatan berfungsi berhampiran lokasi pencerobohan pada pagi Ahad, 19 Oktober.
Pegawai di pusat kawalan keselamatan juga tidak mempunyai cukup skrin untuk memantau rakaman secara masa nyata, manakala kelemahan koordinasi menyebabkan polis pada mulanya dihantar ke lokasi yang salah selepas penggera berbunyi, menurut laporan yang dibentangkan kepada Suruhanjaya Kebudayaan Senat Perancis.
“Ia menyerlahkan kegagalan menyeluruh pihak muzium serta pihak penyelia dalam menangani isu keselamatan,” kata pengerusi suruhanjaya, Laurent Lafon pada permulaan sesi pendengaran.
Antara pendedahan paling mengejutkan ialah para perompak meninggalkan lokasi hanya 30 saat sebelum polis dan pengawal keselamatan tiba.
“Lebih kurang 30 saat sahaja, pengawal Securitas atau anggota polis dalam kereta boleh menghalang mereka daripada melarikan diri,” kata ketua penyiasatan, Noel Corbin kepada senator.
Beliau berkata langkah seperti sistem kamera keselamatan yang lebih moden, kaca pintu lebih tahan lasak yang tidak mudah dipotong menggunakan pengisar besi, ataupun koordinasi dalaman lebih baik, boleh menghalang kehilangan permata mahkota – bernilai dianggarkan AS$102 juta – yang sehingga kini masih belum ditemui.
Risiko keselamatan itu turut disebut dalam beberapa laporan yang dilantik pengurusan Louvre, termasuk audit pada 2019 oleh syarikat barang kemas Van Cleef & Arpels.
Penilaian itu menyatakan bahawa balkoni yang digunakan pencuri adalah titik lemah dalam keselamatan dan boleh dicapai menggunakan tangga boleh sambung – tepat seperti yang berlaku dalam rompakan tersebut.
Corbin mengesahkan bahawa Ketua Louvre yang kini dikritik hebat, Laurence des Cars, tidak menyedari tentang audit tersebut yang dijalankan pendahulunya, Jean-Luc Martinez.
“Cadangan itu tidak dilaksanakan dan sebenarnya boleh mengelakkan rompakan ini,” kata Corbin sambil menambah terdapat kelemahan koordinasi antara dua pentadbir yang dilantik kerajaan itu.
Polis percaya mereka telah menahan keempat-empat perompak yang melarikan diri dengan motosikal berkuasa tinggi selepas melaksanakan rompakan di Galeri Apollo dalam masa kira-kira 10 minit.
Pendedahan pada Rabu itu dijangka meningkatkan tekanan terhadap des Cars yang sebelum ini sudah berdepan desakan supaya meletak jawatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






