Persatuan Ping Pong Selangor dakwa kepimpinan baharu tidak sah

Persatuan Ping Pong Selangor dakwa kepimpinan baharu tidak sah


Naib Presiden Ping Pong Selangor, Datuk Paul Lee Kok Sun (kiri) bersama Setiausaha Kehormatnya, Lim Kian Aik selepas menghantar aduan rasmi kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) pada Selasa.

PERSATUAN Ping Pong Selangor (PPPS) pada Selasa menyerahkan surat aduan rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSS) berhubung dakwaan pengambilalihan kepimpinan persatuan tanpa melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang sah.

Menurut Setiausaha Kehormat, Lim Kian Aik, aduan tersebut susulan tujuh e-mel yang telah dihantar sejak 7 Mei lalu, namun tidak mendapat sebarang maklum balas daripada PSS.

“Aduan yang kami beritahu kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) adalah mengenai AJK yang ambil alih persatuan Ping Pong Selangor itu adalah tidak sah kerana tanpa pengetahuan kami mereka adakan AGM sendiri dan mereka pilih Ahli Jawatankuasa (AJK) dengan sendiri.

“AJK yang mereka pilih ada yang bukan ahli persatuan” katanya kepada media.

Kian Aik turut mendedahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu, namun tiada tindakan susulan diterima daripada pihak PJS hingga kini.

Beliau turut mempersoalkan tanggungjawab dan integriti PPS dalam menangani isu tersebut, walaupun bukti dan aduan telah dikemukakan berulang kali.

Tambahnya, perkara berkenaan bukan sahaja mengecewakan malah menjejaskan moral dalam kalangan ahli persatuan.

Persatuan itu turut menegaskan komitmen untuk terus menuntut keadilan, termasuk membawa isu tersebut ke peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta mempertimbangkan tindakan undang-undang jika perlu.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias meminta PPPS menyelesaikan isu dalaman mengikut saluran yang betul sebelum merujuk kepada pihaknya.

Suhardi berkata, sekiranya terdapat percanggahan dalaman antara persatuan mereka perlulah menyelesaikannya mengikut Akta Pembangunan Sukan di bawah Seksyen 23.

“Seksyen 23 Akta Pembangunan Sukan berbunyi, tiap-tiap badan hendaklah menyelesaikan apa-apa pertikaian yang timbul dalam kalangan anggotanya atau dengan jawatankuasa atau badan pengelolanya mengikut tatacara dalaman yang ditetapkan dalam peraturan-peraturan.

“Selepas tatacara dalaman ini diselesaikan, ada pihak yang masih lagi terkilan dengan keputusan jawatankuasa siasatan dalaman itu maka mereka boleh mengemukakan aduan kepada badan induk.

“Jika perkara ini masih mengakibatkan pihak mengadu terkilan mereka boleh membuat aduan kepada peringkat seterusnya jika mereka ahli kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM),” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top