PETALING JAYA: Kesiapsiagaan pakar tempatan dalam menghadapi sebarang insiden keselamatan siber akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Madani.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ini merupakan jaminan agar keyakinan rakyat serta pelabur terhadap negara sentiasa pada tahap yang tinggi.
Katanya, keupayaan kapasiti dan kompetensi pakar tempatan harus terus diperkukuh agar kebergantungan kepada pihak asing dalam mengurus sistem kritikal negara dapat diminimumkan.
“Kerjasama pasukan kerajaan dan industri harus seiring agar keupayaan menjaga infrastruktur kritikal negara dari sebarang ancaman pada tahap tinggi,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri mengarahkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk bekerjasama rapat dengan MAHB sejak insiden itu dilaporkan beberapa hari lalu.
Menurutnya, semua pihak diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan hanya merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Katanya, insiden ini juga sekaligus menunjukkan keupayaan tempatan untuk mengendali insiden keselamatan siber harus sentiasa pada tahap terbaik.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri akan berkunjung ke lapan negeri bagi menyambut perayaan Aidilfitri.
Katanya, majlis akan bermula dengan Melaka yang turut diangkat sebagai penganjuran peringkat kebangsaan pada 5 April (Sabtu); Selangor (6 April) dan Pahang (11 April).
“Manakala Kelantan dan Pulau Pinang pula akan diadakan pada 12 April dengan diikuti Sarawak (19 April); Perak 25 April (Jumaat) dan Perlis (27 April).
“Perincian lanjut terkait lokasi akan dimaklumkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri, selaku sekretariat induk Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025.
“Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI akan dianjurkan bersama-sama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai tuan rumah. Insya-Allah Perdana Menteri akan hadir bersama dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN